Siapa sangka lagu yang mencetuskan fenomena di TikTok merupakan milik kepunyaan penyanyi muda daripada Jordan iaitu Issam Alnajjar.

Mengakui dirinya sering disamakan dengan Justin Bieber, remaja berusia 17 tahun ini tidak menyangka single Hadal Ahbek diangkat hingga menjadi single bahasa Arab pertama popular di pasaran global.

"Memang tak sangka dan sangat terkejut apatah lagi kejayaan saya ini dibandingkan dengan Bieber.

“Memang ada yang anggap saya begitu tapi jauh lagi perjalanan saya untuk mencapai tahap berkenaan," katanya.

Issam berkata, Malaysia menjadi salah sebuah negara yang memberi sokongan besar terhadap single Hadal Ahbek.

"Saya tidak sangka lagu itu juga popular di TikTok. Secara jujur, tanpa TikTok, lagu ini tidak popular seumpama itu. Platform ini sangat membantu saya.

"Sama seperti K-pop, saya mahu membawa muzik Arab Pop (A-Pop) supaya diterima di seluruh dunia," katanya.

Issam berkata demikian pada sidang media virtual Universial Music Malaysia baru-baru ini.

Difahamkan juga lagu Hadal Ahbek mendaki carta teratas lagu-lagu di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Malaysia dan India.

Malah, single berkenaan mengatasi penyanyi popular antarabangsa apabila mendapat perkongsian lebih tinggi berbanding single Bieber dan The Weeknd.