Hiburan
Rafiena Tak Kisah Dipanggil Hamba Kerja, Mahu Fokus Pada Bisnes
Pelakon dan penerbit Datuk Rafiena Ezanee Ramli mengakui tidak pernah berputus asa walaupun pernah ditipu beberapa kali.
“Saya mengaku mempunyai impian setinggi gunung dan untuk merealisasikan impian tersebut saya perlu bekerja keras.
“Walaupun pernah mempunyai pengalaman ditipu dan sebagainya, saya tidak akan sesekali berputus asa, kerana saya orang yang akan melakukan sesuatu perkara itu bersungguh-sungguh sehingga dapat capai apa yang saya impikan,” katanya kepada Astro Gempak.
Advertisement
Menurut pemilik Syarikat produksi, Dark Wave Pictures Sdn. Bhd. yang juga pengasas House of Dre yang mempunyai rangkaian produk minyak wangi dan spa ini, dia tidak kisah bekerja keras dalam usia muda.
Dia yang baru sahaja melancarkan wangian sulung di bawah jenama House Of Dre berkata, memiliki cabang perniagaan melibatkan hal penjagaan diri dan kencantikan sudah lama diimpikan.
“Saya sangat sukakan wangian, jadi House Of Dre adalah laluan untuk mempunyai wangian sendiri. Dalam masa yang sama juga boleh berkongsi dengan orang lain, di luar sana.
“Selain itu antara ciri penting Dre Charisma Luxury ini adalah mampu mewujudkan keyakinan diri dalam diri pemakai, itu yang paling penting bagi saya sebagai pengguna produk ini.
"Bagi sesiapa yang mahu mengetahui lanjut mengenai produk ini boleh ke laman Instagram kami di @houseofdre_my,” katanya.
Bercakap mengenai statusnya sebagai ibu tunggal kepada dua orang puteri, Catheriena Batrisya, 8, dan Christina Zaraa, 4, Rafiena memberitahu dia enggan memikirkan persepsi orang luar berhubung statusnya sebagai ibu tunggal.
“Saya tidak peduli kalau orang kata saya ini hamba kerja dan tidak bersosial kerana hidup saya tidak pernah sunyi.
“Kehidupan harian saya hanya di pejabat atau perjumpaan bagi memenuhi projek-projek tertentu. Kadang-kadang saya di pejabat sampai lewat pagi kerana menyiapkan kerja.
“Masa terluang saya diisi dengan melayan kerenah dua permata hati saya. Memang tiada masa untuk saya mencari cinta baru sekarang,” katanya tanpa berselindung.
Rafiena ditemui ketika majlis pelancaran House Of Dre dan wangian Dre Charisma Luxury di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Must-Watch Video