Hiburan
Raja Ilya Minta Kebenaran Isteri Taufik Batisah Sebelum Pegang Tangan
Aktres Raja Ilya meminta kebenaran isteri kepada Taufik Batisah sebelum memegang tangan penyanyi itu.
Menerusi filem terbaru Soulmate Hingga Jannah yang bakal ditayangkan pada 16 Februari ini, Ilya bergandingan bersama Taufik memegang watak utama.
"Sewaktu penggambaran dijalankan, isteri Taufik turut ada di set penggambaran. Sebelum memulakan babak yang memerlukan saya bersentuhan dengan Taufik seperti babak berpegangan tangan, saya meminta kebenaran isteri Taufik terlebih dahulu.
"Isteri Taufik sangat memahami kerjaya Taufik sebagai seorang pelakon. Dia memberi keizinan dan sangat sporting. Kadang-kadang, isterinya yang memberi input kepada kami untuk menjayakan sesuatu babak dari kaca mata penonton.
"Saya sangat berterima kasih kepadanya kerana memudahkan lakonan kami berdua," kata Ilya kepada Astro Gempak ketika ditemui di majlis tayangan filem Soulmate Hingga Jannah pada Selasa.
Memegang watak komedi dalam filem ini, Ilya mengakui pada mulanya agak sukar untuk dia menggalas tanggungjawab tersebut.
"Pada awalnya, saya rasakan agak susah. Saya takut watak komedi yang saya bawakan tak menjadi. Saya risau orang tak merasai watak yang saya bawakan.
"Ini merupakan kali pertama saya menggalas watak sebegini. Saya rasa sangat gemuruh menanti reaksi penonton. Saya berharap agar filem ini dapat diterima semua pihak," katanya lagi.
Filem Soulmate Hingga Jannah yang dijayakan Ilya bersama Taufik Batisah, Erra Fazira dan Douglas Lim ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 16 Februari 2017.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video