Penyanyi Hasnol yang pernah menjadi juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-8 (1993) dengan lagu Sudi Katakan Sudi kini kembali dengan karya baharu.

Hasnol atau nama sebenarnya, Hasnol Hassan Ariff yang juga cukup dikenali dengan hit Laguku Untukmu satu masa dahulu ini mempersembahkan album Nadi Cinta Kita yang di dalamnya dimuatkan dengan Laguku Untukmu Remix 2020.

Menurut Hasnol, sengaja Laguku Untukmu digarap semula. Ia adalah lambang apresiasi dirinya buat Allahyarham komposer D.W.Adnan Hj.Abu Hassan yang menciptakan lagu yang ditulis olehnya itu.

Bersama lagu yang dirakamkan semula secara remix dan instrumental ini, Hasnol turut memuatkan sebuah lagi lagu istimewa yang didedikasikan buat sahabatnya, Allahyarham Tony Iskandar Alberto atau lebih dikenali dengan nama pentas beliau, Tony Spider, Hilang.

"Pada mulanya, Album Nadi Cinta Kita ini adalah satu dedikasi saya buat isteri sempena ulang tahun perkahwinan kami yang ke 10 tahun 2020. Namun banyak perkara yang membuatkan saya bersemangat untuk dedikasikan kepada kedua-dua Allahyarham sahabat yang saya pernah bekerjasama dalam pembikinan album pertama dan yang terbaharu sekarang ini.

"Justeru dengan pemergian sahabat karib bagaikan seorang ahli keluarga saya juga, album ini terus menjadi tribute. Dalam lagu Hilang, saya telah menulis bait-bait lagu yang berkisar tentang seorang insan yang merinduikan Cinta Pencipta dan secara tidak sengaja yang sebenarnya, saya menulis tentang kisah arwah," kata Hasnol.

Bercerita lanjut mengenai lagu Hilang, Hasnol memberitahu ia telah dirakamkan bersama Allahyarham Tony pada hujung tahun 2018 sebelum diulang semula di studio Luncai Emas pada awal tahun 2019.

Namun, promosi untuk album itu tidak dapat dijalankan dan ianya tergendala akibat pandemik COVID 19.

"Apabila suasana COVID melanda, saya dan ramai lagi dalam industri hiburan terjejas kerana tiada ruang untuk membuat persembahan.

"Walaupun boleh melakukan secara maya di media sosial, tak semua yang akan membuat sumbangan kerana bagi penonton, sekali mereka menyumbang walau seringgit, mereka akan terus menonton persembahan kami sekiranya ianya berlangsung selama seminggu. Memang keadaan menjadi sempit buat kami," katanya lagi.

Malah album ini turut memuatkan lagu dalam versi Inggeris Nadi Cinta Kita yang diberi tajuk The Rhythm of Love.

Lagu ini adalah yang pertama dalam sejarah Hasnol sebagai artis rakaman yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris dan mengharapkan penerimaan peminat-peminat dalam percubaan julungkalinya untuk menyanyikan lagu dalam bahasa inggeris setelah hampir 30 tahun berada dalam persada seni suara.

Sebelum ini Hasnol pernah melahirkan dua album antaranya iaitu Sudi Katakan Sudi pada tahun 1992 dan Caraku, dua tahun berikutnya.

Dua daripada tujuh karya yang dimuatkan dalam album ini iaitu Nadi Cinta Kita dan Hilang sudah boleh distrim oleh pendengar.