Pelakon Indonesia, Raline Shah akui babak memandu kereta merupakan cabaran terbesar yang perlu dilakukan dalam filem Surga Yang Tak Dirindukan 2 (SYTD2).

Menurut Raline, 31, dia memerlukan keberanian untuk melakonkan babak tersebut kerana tidak pandai memandu kereta.

“Saya tidak mempunyai masalah dari segi skrip ataupun keserasian bersama pelakon lain tetapi dari segi praktikal seperti ini memang saya risau.

“Ini babak paling mencabar kerana saya memang tak pandai memandu dan sebaik saja dapat tahu ada babak tersebut saya rasa tak percaya.

“Susah kerana saya perlu menunjukkan watak sebagai seorang wanita yang berdikari dan boleh melakukan segalanya tanpa bantuan orang lain.

“Bayangkan kena bawa kereta dan berlagak seperti saya melakukannya setiap hari tetapi sebenarnya dalam hati hanya tuhan saja yang tahu.

“Tapi malangnya ‘scene’ tersebut tidak dimasukkan dalam filem berkenaan,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Selain Raline, filem SYTD 2 turut dibintangi oleh Laudya Cynthia Bella, Fedi Nuril, Reza Rahadian dan Nora Danish.

Filem arahan pengarah terkenal Hanung Bramantyo itu telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 16 Februari lalu.

Selepas SYTD 2, filem terbaru terbitan Astro Shaw dan Dark Wave Pictures Sdn. Bhd berjudul Kimchi Untuk Awak bakal ditayangkan di pawagam pada 30 Mac ini.

Kimchi Untuk Awak dibintangi oleh Aiman Hakim Redza, Emma Maembong dan Janna Nick.

Teks oleh: Mya Amri