Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Ramadan: Solat Tarawih, Qiamulail, Tadarus, Moreh & Sahur Dibenarkan Di Masjid Dan Surau – “Syukur Dah Boleh Rapatkan Saf, Imarahkan Masjid…”

Fiza Kamarudin
17/03/2022 22:45 MYT

Orang ramai menyambut baik keputusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang membenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan atau saf dirapatkan bermula 1 April ini.

Kehadiran ke masjid dan surau pula dibenarkan tanpa had umur dan mereka yang telah menerima suntikan vaksinasi Covid-19.

Selain itu, masjid dan surau dibenarkan melaksanakan solat sunat Tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan. Qiamullail pula dibenarkan diadakan di masjid dan surau mulai tengah malam.

Sementara itu majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan diadakan di masjid dan surau, namun makanan digalakkan disediakan secara berbungkus.

Aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau juga boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil.

Bagaimanapun jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri.

Pengerusi JAWI, Ajib Ismail berkata, ketetapan terkini solat berjemaah itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Ia juga dibuat selaras langkah kerajaan berkaitan fasa peralihan ke endemik yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini. Semua kebenaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dan terus bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera dibendung,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai menyambut baik keputusan tersebut dan meluahkkan rasa syukur kerana dapat mengimarahkan masjid dan surau di bulan Ramadan ini.

Sumber: Utusan Malaysia

#Ramadan #Masjid #Surau #Rapatkan Saf