VIRAL
"Ramai DM Minta Nasihat Berpoligami, Saya Anggap Itu ..." - Aslam
Pempengaruh Ahmad Aslam mengakui kehidupan berpoligami bukanlah sesuatu yang mudah, terutama bagi dirinya yang masih muda.
Jelas suami kepada anak pelakon Norman Hakim dan bekas isteri Abby Abadi, iaitu Marissa Dania dan pempengaruh yang juga usahawan Umisya Mazlan itu lagi, dia bagaimanapun sedang berdamai dengan situasi.
Aslam atau nama sebenarnya Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 25, juga memilih untuk tidak memperincikan kesukaran yang dihadapi kerana perlu menjaga hati banyak pihak.
"Susah, sebenarnya agak susah. Saya tidak boleh ulas lebih dan terperinci. Saya bimbang perkara ini membabitkan sensitiviti banyak pihak," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen New Chapter anjuran Wawa Cosmetics di ibu kota baru-baru ini.
Dalam majlis berkenaan, Aslam bersama isteri pertama, Umisya Mazlan diumumkan sebagai wajah kempen bagi produk pelindung matahari keluaran Wawa Cosmetics.
Aslam mendirikan rumah tangga dengan Umisya Mazlan pada Julai 2020. Pasangan ini pernah bercerai pada September 2023, namun kembali rujuk ketika masih dalam tempoh edah. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Hud, 4 tahun, Nuh, 3 tahun, dan seorang bayi perempuan yang dilahirkan pada 17 Februari lalu.
Aslam turut bernikah dengan Marissa di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Mengulas mengenai kehidupan selepas enam bulan berpoligami, Aslam berkata bahawa dia dan pasangan masih dalam proses menyesuaikan diri.
"Sebenarnya, sampai saat ini saya cuba yang terbaik dalam setiap sudut. Apa yang tidak boleh, saya tetap usaha. Masih banyak yang saya perlu perbetulkan," katanya.
Aslam turut berkongsi bahawa ramai pengikut sering meminta nasihat mengenai kehidupan berpoligami setiap kali membuat siaran langsung di media sosial.
“Bila saya buat ‘live’ promosi produk, banyak juga komen minta nasihat (poligami) tapi saya anggap itu sebagai gurauan masyarakat.
“Mungkin mereka cakap sebegitu sebab sengaja nak mencuit jadi saya tak anggap pertanyaan fasal hal peribadi seperti itu sesuatu yang serius.
“Saya biasanya tak balas DM dan diam sahaja kalau nampak komen sebegitu sebab banyak perkara lain yang saya perlu ambil kira," ujarnya.
Tambah Aslam, dia berasa kurang selesa apabila sering menjadi perhatian ramai. Namun begitu, dia tetap bersyukur kerana Allah membuka pintu rezeki dalam bidang baharu seperti menjadi jurucakap kempen produk.
Apabila ditanya sama ada pernah menerima tawaran berlakon daripada mana-mana penerbit, Aslam tidak menolak kemungkinan untuk mencuba meskipun dunia lakonan bukanlah minat utamanya.
Must-Watch Video