Pengarah filem Eye On The Ball (EOTB), Chen Yih Wen membuka peluang kepada orang ramai untuk lebih mengenali dan memahami kehidupan orang kelainan upaya menerusi karya terbaru arahannya.

Menurut Yih Wen, dia sendiri tidak mengenali golongan istimewa ini sehingga dia bertemu dengan skuad bola sepak cacat penglihatan kebangsaan.

“Pada awalnya saya tertanya-tanya bagaimana orang cacat penglihatan ni hidup, menjalani kehidupan harian.

“Selepas mempelajari tentang mereka, saya mahu kongsi pengetahuan dan pengalaman ini dengan orang ramai supaya kita boleh menjadi masyarakat yang lebih prihatin,” kata Yih Wen kepada Gempak.

Tambahnya lagi, kita sendiri sebagai rakyat Malaysia kurang saluran atau peluang untuk mengenali orang cacat penglihatan.

“Saya rasa kita kurang prihatin tentang orang yang kelainan upaya jadi dengan filem ni, saya berharap orang ramai dapat belajar sedikit tentang mereka.

“Mereka ada bintang sebenar dalam filem ini,” ujarnya lagi.



Dokumentari EOTB menceritakan kisah suka duka pasukan bola sepak cacat penglihatan yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia.

Saksikan filem EOTB di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 bermula 20 Ogos 2020.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem ini, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.