Pengarah yang juga penerbit Zeel Productions, Haji Zil mendedahkan bahawa banyak pihak berasa senang untuk bekerja dengan aktres Mira Filzah kerana sikapnya yang tidak pernah berkira soal melibatkan promosi drama.

Bahkan, Haji Zil atau nama sebenarnya Fadzil Teh berkata, Mira merupakan pelakon yang cukup komited dalam membantu pihak produksi menguar-uarkan kepada umum setiap karya lakonannya.

"Kenapa banyak penerbit dan orang stesen televiyen suka bekerja dengan Mira Filzah?

"Sebab dia artis yang sangat senang untuk bekerjasama dari segi promosi bagi setiap drama yang dia berlakon. Pendek kata, artis yang tidak berkira sangat. Pasal promosi kat Instagram dia yang selalu minta bahan daripada penerbit," kongsinya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.

Kenapa banyak penerbit dan orang tv stesyen suka bekerja dgn @mfmirafilzah ? Sebab dia artis yg sangat senang untuk bekerjasama dari segi promosi bagi setiap drama yg dia berlakon. Pendek kata artis yg tidak bekera sangat. Pasai promotion kat instagram dia yg selalu meminta bahan dari penerbit. Ni geram setengah artis utama drama , nama gah minta mahai nak minta promo promosi kat instgram pun tak mau buat. Bahan semua tv yg bagi. Jadi kalau depa tak bertahan lama tak ada job lepaih ni jgn nak salahkan penerbit dan tv station. Lambattt lagi. Muga @mfmirafilzah menang lagi #abpbh2020 dan tak sombong Ala jgn kahwin awai na !!!

A post shared by Fadzil Teh (@hj.zil) on



Pada masa sama, Haji Zil mendakwa sesetengah artis cukup berkira apabila diminta untuk mempromosikan drama lakonan sendiri.

"Ni geram sesetengah artis utama drama, nama gah minta mahal nak minta promosi kat Instagram pun tak mahu buat. Bahan semua stesen televisyen yang bagi.

"Jadi kalau mereka tak bertahan lama tak ada job lepas ni, jangan salahkan penerbit dan stesen televisyen. Lambat lagi," luahnya.

Perkongsian status tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengikut.

Rata-rata bersetuju bahawa sikap bertanggungjawab dan selalu merendah diri perlu ada dalam diri seseorang apabila melakukan satu-satu tugas.

Dalam pada itu, Haji Zil turut berharap agar Mira sentiasa kekal dengan peribadinya yang sentiasa merendah diri.

"Moga Mira Filzah menang lagi #abpbh2020 dan tak sombong. Ala, jangan kahwin awal ya!," tulisnya.

Mira mula dikenali sekitar 2013 apabila membawa watak utama menerusi drama Dunia Lola yang disiarkan di saluran Astro Ria pada 2013.

Sehingga kini, sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Mira banyak menerima pelbagai anugerah yang mengangkat namanya.