Ramai Penerbit Suka Ambil Mira Filzah Berlakon Sebab...

ZULHILMI JALIL
Disember 23, 2019 05:15 MYT
Pengarah yang juga penerbit Zeel Productions, Haji Zil mendedahkan bahawa banyak pihak berasa senang untuk bekerja dengan aktres Mira Filzah kerana sikapnya yang tidak pernah berkira soal melibatkan promosi drama.
Bahkan, Haji Zil atau nama sebenarnya Fadzil Teh berkata, Mira merupakan pelakon yang cukup komited dalam membantu pihak produksi menguar-uarkan kepada umum setiap karya lakonannya.
"Kenapa banyak penerbit dan orang stesen televiyen suka bekerja dengan Mira Filzah?
"Sebab dia artis yang sangat senang untuk bekerjasama dari segi promosi bagi setiap drama yang dia berlakon. Pendek kata, artis yang tidak berkira sangat. Pasal promosi kat Instagram dia yang selalu minta bahan daripada penerbit," kongsinya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Pada masa sama, Haji Zil mendakwa sesetengah artis cukup berkira apabila diminta untuk mempromosikan drama lakonan sendiri.
"Ni geram sesetengah artis utama drama, nama gah minta mahal nak minta promosi kat Instagram pun tak mahu buat. Bahan semua stesen televisyen yang bagi.
"Jadi kalau mereka tak bertahan lama tak ada job lepas ni, jangan salahkan penerbit dan stesen televisyen. Lambat lagi," luahnya.
Perkongsian status tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengikut.
Rata-rata bersetuju bahawa sikap bertanggungjawab dan selalu merendah diri perlu ada dalam diri seseorang apabila melakukan satu-satu tugas.
Dalam pada itu, Haji Zil turut berharap agar Mira sentiasa kekal dengan peribadinya yang sentiasa merendah diri.
"Moga Mira Filzah menang lagi #abpbh2020 dan tak sombong. Ala, jangan kahwin awal ya!," tulisnya.
Mira mula dikenali sekitar 2013 apabila membawa watak utama menerusi drama Dunia Lola yang disiarkan di saluran Astro Ria pada 2013.
Sehingga kini, sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Mira banyak menerima pelbagai anugerah yang mengangkat namanya.
#pelakon #Mira Filzah #Pelakon #Haji Zil