Keputusan bersalah yang dibacakan oleh Hakim Izralizam Sanusi terhadap Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali Mahkamah Sesyen di sini, hari ini disambut dengan rasa syukur oleh masyarakat yang mengikuti kes hangat ini sejak mula.

Selain gembira dengan keputusan yang diberikan, ramai warganet meluahkan rasa syukur dan keinginan melihat keadilan buat remaja Sindrom Down, Bella akhirnya terwujud.

Terdahulu Hakim Izralizam membuat keputusan Siti Bainun bersalah di atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali Bella.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.

Kes Siti Bainun melakukan penganiayaan terhadap Bella menimbulkan kemarahan masyarakat apabila bukti-bukti bergambar remaja perempuan tersebut didera tular media sosial.

Bella antaranya mengalami melecur pada bahagian badan kerana disimbah dengan air panas selain turut dipukul.

Malah kenyataan yang diberikan saksi kelima yang dikenali sebagai Yasmin pada April 2022, Bella dipaksa memakan 20 biji cili padi beberapa kali dalam seminggu atas arahan Siti Bainun semakin menimbulkan kemarahan masyarakat terhadap kekejaman yang dilakukan wanita itu.

Perbicaraan kes itu bermula 30 Mac 2022 dan pihak pendakwaan menutup kes tersebut selepas memanggil 22 saksi.

AWANI melaporkan, saksi-saksi pendakwaan yang hadir ialah Bella sendiri selaku saksi pendakwaan (SP) ke-18; SP-5, bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; SP-17, pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan; SP-1, pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan SP-15, pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.