Penyanyi rap MK K-Clique sedar akan teguran orang ramai mengenai perubahan saiz badannya yang semakin berisi selepas mendirikan rumah tangga pada Jun lalu.

Kata MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, dia akui kini berada dalam fasa bahagia bersama isteri tercinta, Siti Hajaar.

"Badan saya sekarang tidak berisi mana pun, tapi ramai yang tegur kata saya semakin berisi.

"Alhamdulillah, masakan isteri sedap. Betul orang kata air tangan isteri buatkan tambah selera makan.

"Saya tidak pernah timbang berat untuk tengok perbezaan. Saya rasa macam sama je berat dulu dengan sekarang, masih kurus," katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai perancangan zuriat, kata MK dia tidak memaksa isterinya untuk hamil namun tidak menolak seandainya dikurniakan rezeki lebih cepat.

"Jujur belum, insya-Allah doakan, saya teringin dan kami juga berdua masih berusaha. Saya berserah kepada isteri, kerana dia yang akan mengandung dan akan melahirkan. Saya tidak boleh paksa.

"Sebabnya, apabila mengandung dia yang perlu berjalan dengan bayi selama sembilan bulan, kemudian berpantang. Semua kepada dia," tambahnya.

Untuk rekod, MK dan Siti Hajaar selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di Masjid Jamiul Huda, Ampang, Selangor, pada 16 Jun lalu.