Berita
Ramai Terkejut, Tak Sangka Erra Fazira Pandai Melukis
Pelakon dan penyanyi Erra Fazira berkongsi kepada umum hasil seni lukisan akriliknya di Instagram.
Perkongsian Erra itu mengejutkan ramai pengikutnya yang tidak menyangka aktres filem Sembilu itu sebenarnya mempunyai bakat terpendam dalam seni lukis.
Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 45, berkata, lukisan tersebut dibuat khas bagi tujuan lelongan bagi membantu sebuah pertubuhan yang membantu dalam kesihatan mental.
"Pandai tidak..minat ada. Maka inilah hasil akrilik yang tak seberapa daripadaku. Lukisan ini saya serahkan kepada @miasa.malaysia (Persatuan Sokongan Dan Kesedaran Penyakit Mental) untuk dibuat lelongan.
"Hasilnya adalah untuk membantu pergerakan @miasa.malaysia membantu mereka yang memerlukan. Jadi, siapa yang berminat, silalah dapatkan okay.
"Sekali gus, kita dapat membantu memperkembangkan kesedaran tentang penyakit mental di Malaysia," tulisnya.
Hasil karya Erra itu kemudian mendapat pelbagai respons dalam kalangan rakan artis dan pengikutnya.
"Cantik lukisan ni. Serius, unik. Walaupun nampak ringkas, tapi menarik. Mendamaikan.
"Berbakat, semua serba-serbi pandai," tulis sebahagian pengikutnya.
Bahkan, ada juga yang memuji tindakan murni Erra dalam membantu golongan pesakit mental.
"Moga akak boleh bantu untuk sedarkan masyarakat tentang benda ini. Sebab orang yang ada penyakit mental ni, perasaan mereka , lepas tu ada pula yang buat mereka rasa down.
"Mohon doa daripada akak dan juga rakan-rakan yang lain untuk mereka yang tengah berjuang dengan penyakit mental," tulis seorang netizen.
Must-Watch Video