Anggota kumpulan Dolla, Syasya memgakui pernah tertekan selepas menerima banyak kecaman netizen di media sosial pada awal kemunculan mereka.

Berkongsi pengalaman pahit itu, Syasya memberitahu sebelum ini dia pernah menerima ugutan bunuh daripada peminat kumpulan K-Pop, BLACKPINK.

Menurut Syasya dia menerima ancaman tersebut gara-gara penampilan dan gaya rambutnya dikatakan ada persamaan dengan Lisa BLACKPINK.

“Pada awal kemunculan kami, saya pernah menerima satu ugutan bunuh. Dia hantar gambar pisau dengan darah dan bermacam lagi komen-komen negatif sehingga membuatkan saya menjadi murung seketika.

“Perkara tersebut berlaku hanya kerana disebabkan rambut depan saya mempunyai bangs, ramai yang samakan saya dengan Lisa pada ketika itu.

“Jadi mungkin peminat BLACKPINK tidak berapa gemar dengan perkara itu maka terjadilah kejadian seperti itu,” katanya ketika ditemui Gempak.

Syasya berkata demikian ketika ditemui pada majlis perlancaran single raya Dolla berjudul Raya Raya Raya yang berlangsung di REXKL, baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Syasya, keluarga dan Dolla sendiri banyak memberikan sokongan kepadanya.

“Begitu banyak hate komen yang saya dapat tetapi bila dah lama-lama… Perkara itu dah jadi biasa, apa yang saya belajar ialah kalau kita melayan maka lagi teruklah jadinya.

“Jadi sebab itu sekarang saya ambil pendekatan untuk mute semua notifikasi di media sosial, komen-komen semua memang saya tak baca.

“Itu kejadian sewaktu awal-awal kemunculan kami, sekarang saya berasa sangat bersyukur kerana Dolla juga sudah mula diterima ramai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dolla yang dianggotai oleh Sabronzo, Syasya, Angel dan Tabby ini muncul dengan single terbaharu berjudul Raya Raya Raya yang diterbitkan oleh Universal Music Malaysia.

Terdahulu, Dolla yang muncul dengan single hit berjudul Make You Wanna mendapat perhatian ramai selepas dikaitkan sebagai jelmaan BLACKPINK.