Daripada Korea Selatan ke Malaysia, Astro kini menyahut cabaran selebriti-selebriti di Malaysia dengan pelbagai aksi paling sukar menerusi rancangan realiti adaptasi terbaharunya, Real Men Malaysia: Wira Merah.

Berbeza dengan format asalnya daripada Korea, edisi Malaysia kali ini bakal mempersembahkan sisi-sisi latihan padu dan padat dalam mengenali latar belakang sebagai seorang ahli Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Menariknya, Real Men Malaysia: Wira Merah akan memaparkan latihan daripada sudut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Dengan slogan ‘Cepat & Mesra’, bomba merupakan akar umbi dalam menjaga keselamatan masyarakat setempat kita.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad, Real Men Malaysia: Wira Merah merupakan rancangan realiti paling sukar yang pernah diterbitkan setakat ini.

“Untuk Astro, kepelbagaian program menjadi arus sukatan keluasan pencapaian kami. Sesebuah rancangan realiti tidak semestinya glamor sahaja dan hanya tertumpu terhadap the glitz & glam kehidupan seseorang selebriti.

“Kami mahu membawa kelainan bukan sahaja kepada formatting tetapi terhadap kandungan yang melibatkan selebriti kita.

“Real Men dipilih kerana rancangan ini dilihat mampu mengubah persepsi terhadap selebriti bahawa mereka boleh melakukan saringan aktiviti lasak yang telah direka untuk melatih unit-unit badan beruniform.

“Menerusi adaptasi Malaysia, kita diberikan peluang untuk melihat para selebriti tempatan menguji daya ketahanan mental, fizikal serta emosi mereka menerusi tugasan-tugasan yang diamal oleh anggota-anggota bomba negara.

“Walaupun hadir daripada latar belakang dan kerjaya yang berbeza, kelapan-lapan selebriti ini telah membuktikan semangat mereka tidak mudah luntur dan mereka cekal melaksanakan perintah dan arahan yang diberikan oleh jurulatih-jurulatih Bomba.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Putrajaya dan Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Terengganu di atas kerjasama membuka ruang dan peluang serta turut memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak Astro untuk memaparkan latihan, tugas, tanggungjawab dan cabaran yang perlu dihadapai dalam membina jati diri dan kepakaran menjadi anggota bomba.

“Mungkin apa yang ditayangkan hanyalah sebahagian daripada realiti yang dihadapi namun komitmen, bimbingan dan kerjasama yang diberikan oleh hero yang tidak didendang ini kepada pihak produksi dalam bersama- sama menjayakan program realiti ini amat kami hargai,” ujarnya.

Lapan selebriti yang terbabit dalam rancangan realiti ini adalah atlet negara speed climbing Mat Redho, pempengaruh media sosial Arieff Yong, pelawak Shashic, model Eric Lay, hos Daniel Cheang dan Hawa Rizwana serta pelakon Wafiy dan Jasmine Suraya.

Mereka akan menjalani kehidupan dan latihan sebagai seorang rekrut baharu dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Ditayangkan sebanyak lapan episod, setiap daripada mereka perlu menjalani latihan yang berat dan ringan untuk mengasah diri mereka dan menjadi sebahagian daripada pasukan bomba dan penyelamat.

Penggambaran rancangan ini dilakukan sepenuhnya di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu untuk menunjukkan kehidupan sebenar ahli bomba dan penyelamat Malaysia menerusi paparan barisan selebriti yang dipilih.

Setiap episod menunjukkan realiti emosi dan cabaran yang perlu diharungi oleh pasukan bomba Malaysia termasuk tatacara memakai pakaian operasi, membentang dan menggulung hos, teknik penyelamatan di bangunan yang runtuh, teknik pemadaman kebakaran dan selainnya.

Real Men Malaysia: Wira Merah akan ditayangkan pada setiap hari Ahad bermula 30 Julai, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).

Untuk pilihan lebih fleksibel, ia turut boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.

Alami pengalaman Astro Baharu. Strim tanpa gangguan hujan dengan Astro Ultra Box. Untuk melanggan Pek Primary, WhatsApp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838.

Terdahulu, kejayaan Real Men di negara Korea Selatan telah menarik ramai bintang-bintang ternama walaupun rancangan ini dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang lasak dan sukar.

Paparan sebenar yang digambarkan menerusi liputan selama 24 jam serta formatnya yang unik dan asli menjadi antara penarik di kalangan para penonton yang ingin melihat sisi-sisi baharu selebriti kegemaran mereka.

Antara A-listers yang menyertai rancangan ini di Korea termasuk Julien Kang, Jackson Wang, Lisa Blackpink, Henry Lau dan Sam Hammington.

Rancangan ini juga telah pun di adaptasi oleh negara Thailand (2020) dan China (2021).