Filem terbaru arahan Kabir Bhatia, Kerana Korona telah menjengah pawagam di rumah anda sejak 21 Januari lalu menerusi Astro First (saluran 480)

Seperti sebelumnya, karya pengarah berbakat ini tidak mengecewakan dan terus diminati pencinta filem tanah air.

Ramai telah menonton filem ini, tetapi mungkin masih ramai yang tidak tahu tentang lima perkara yang akan Gempak senaraikan di bawah.

1. Kabir Bhatia Suka Buat Lawak

Semua pelakon filem ini gembira bekerja bersama Kabir kerana suka berlawak jenaka. Selain itu, Kabir juga sentiasa terbuka untuk berbincang mengenai pelbagai idea bersama mereka.

2. Bukan Senang Nak Buat Babak Harun & Maya Menari!

Untuk babak Harun dan Maya (lakonan Idan Aedan & Shasha Abedul), pihak produksi telah meluangkan satu jam demi mencari lagu yang sesuai. Kemudian mereka memperuntukkan satu jam lagi untuk Idan dan Shasha berasa selesa untuk menari.

3. Datuk Jalaludin Hassan Suka Watak Kelakar

Pelakon senior berbakat, Datuk Jalaludin Hassan sangat menyukai watak Leman dalam filem ini kerana dirinya yang sebenar adalah seorang yang kelakar. Namun Jalaludin kerap berlakon watak serius dalam lakonannya sebelum ini.

4. Ummi Nazeera Hamil Ketika Penggambaran

Ummi Nazeera sebenarnya hamil ketika penggambaran filem ini tetapi dia tidak mengetahuinya lagi. Ummi memegang watak sebagai seorang doktor yang baik hati dan suka membantu orang.

5. Rashidi Ishak Tak Potong Rambut

Untuk kelihatan benar-benar seperti sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Rashidi tidak memotong rambut selama berminggu-minggu kerana ketika pelaksanaan PKP tahun lalu, banyak premis perniagaan termasuk kedai gunting rambut tidak boleh dibuka.

Kerana Korona dibintangi oleh Rita Rudaini, Rashidi Ishak, Ummi Nazeera, Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Shasha Abedul, Idan Aedan dan ramai lagi.

Terdapat banyak nilai positif dan pengajaran yang dapat dihayati, tambahan lagi situasi yang dipaparkan amat berkait rapat dengan keadaan kita yang sedang menjalani PKP ketika ini.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!