Reda Dengan Keguguran, Amyra Rosli Tiada Tekanan Nak Tambah Cahaya Mata
Selepas mengalami keguguran, pelakon Amyra Rosli reda apabila belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata ketiga.
Ada hikmah disebalik ujian
Amyra atau Nur Amira Izzati Rosli, 33, menganggap ujian tersebut membawa hikmah kepada dirinya.
Malah, perkara tersebut juga memberikan ruang untuk dirinya lebih fokus terhadap pengambaran telefilem terbaharu yang difahamkan banyak melibatkan babak ganas.
“Saya tak tahu pun saya mengandung pada awalnya, selepas dapat tahu mengandung sebenarnya saya agak berfikir panjang kerana terlibat naskhah yang sangat berat ini. Aksi lakonannya ada melibatkan fizikal dan mungkin berisiko untuk ibu mengandung.
“Saya rasa apa yang berlaku itu ada hikmah. Andai kata saya masih mengandung dan berlakon pula aksi lasak. Perkara itu tidak baik untuk saya dan kandungan.
“Mungkin keadaan mengandung itu juga akan menyusahkan pihak penerbit sebab tak dapat buat banyak babak. Saya kalau berlakon memang akan beri yang terbaik.
“Mungkin Allah tahu saya belum bersedia untuk mengandung maka sebab itulah saya keguguran sebelum usia kandungan capai lima minggu,” katanya ketika ditemui Gempak.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada Rezeki Untuk Anak Ketiga, Amyra Rosli Mengalami Keguguran - “Awak Singgah Sekejap Saja”
ARTIKEL BERKAITAN: Najwa Latif Alami Keguguran, Syukur Diberi Peluang Mengandung 5 Minggu - “Tolong Izinkan Kami Bersedih Dalam Diam”
ARTIKEL BERKAITAN: Belum Rezeki, Puteri Khareeza Mengalami Keguguran - “Allah Bagi Rasa…”
Sementara itu, drama Bunga Salju itu juga mengakui tiada tekanan untuk menambah lagi cahaya mata dan hanya menyerahkan rezeki untuk mendapat zuriat kepada Allah.
“Itu semua kuasa Allah, sama ada diberi atau tidak rezeki itu, saya tetap bersyukur. Tak mengapa sebab saya pun dah ada sepasang cahaya mata.
“Tiada sebarang tekanan, malah saya pun lebih gembira kerana anak-anak pun sudah semakin membesar dan lebih mudah diuruskan.
“Kalau nak mengandung pun mestilah sebelum usia menginjak 35 tahun kerana memikirkan juga risiko kesihatan. Perlu fikirkan masa depan anak-anak, tak mahu dah berumur tapi anak masih kecil,” kongsinya.
Sebelum ini, Amyra berkongsi dia mengalami keguguran akibat kehamilan kimia atau chemical pregnancy.
Untuk rekod, Amyra melangsungkan perkahwinan bersama aktor Amar Baharin pada November 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi, 7 dan Ayra Aryssa yang kini berusia empat tahun.
Dalam perkembangan lain, Amyra membintangi telefilem terbaharu berjudul Larian Terakhir yang bakal disiarkan pada 15 Disember depan.
Selain Amyra, telemovie berkenaan turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat lain termasuklah Fattah Amin, Fahrin Ahmad, Sherie Merlis dan Ameerul Asyraf.
Larian Terakhir bakal menemui penonton menerusi saluran 120 Degup di Unifi TV.