Sejak Lembah Klang terkena musibah banjir kilat, dilihat ramai individu turun padang membanting tulang bagi meringankan beban mangsa terlibat.

Selain syarikat-syarikat besar yang turut sama menghulurkan bantuan, golongan individu berpengaruh seperti selebriti juga tidak ketinggalan.

Terbaharu, jurusolek tersohor, Datuk Alha Alfa berkongsi aktiviti memberi bantuan terhadap mangsa banjir di sebuah taman perumahan.

A post shared by www.alhaalfa.com (@alhaalfa)


Berbekal sebuah bot yang terisi dengan barang makanan dan keperluan asas, Alha menyorong bot berkenaan rumah ke rumah sambil mengharungi air banjir yang pada waktu itu berada di paras betis.

Menerusi ruangan kapsyen, Alha mengucapkan rasa bersyukur dan berterima kasih di atas sumbangan orang ramai sehingga membolehkan sumbangan tersebut diagihkan kepada mangsa banjir.

“Ya Allah, terima kasih kepada yang dah ramai membantu, walaubagaimanapun masih ramai lagi yang berada di dalam rumah yang tak boleh masak tiada sumber air bersih, yang tak boleh bagi makan anak-anak air panas tiada.

“Semoga segala bencana ini selesai segera.. boat kami berpecah-pecah tadi separuh ke taman perumahan, separuh ke kawasan sekolah dan flat. Terima kasih pada yang membantu, ingat guys, aktiviti ini bukan untuk seronok-seronok, banyak faktor yang perlu dijaga.

“Paras air boleh membuatkan kite lemas, sampah sarap tajam-tajam, lokasi longkang dan banyak benda berbahaya kat bawah sampan tu. Terima kasih pihak berkuasa yang tak henti-henti membantu. Ramai guys, sungguh ramai mereka yang perlukan bantuan,” katanya.

Meninjau ruangan komen, kebanyakan pengikut Alha memuji tindakan murni jurumekap tersebut.

“Terima kasih datuk dan team moga Allah je yang balas jasa kalian semua. Memang ramai yang kaya harta tapi tak ramai yang kaya jiwa dan hati mcm datuk. Moga melimpah-limpah lagi rezeki lepas ni,” ujar salah seorang pengikutnya.

Dalam pada itu, ada juga yang turut berpesan supaya berhati-hati ketika mengagihkan keperluan kepada mangsa banjir.

“Datuk pakai life jacket. Keselamatan mau jaga juga Datuk. Pandai berenang lama-lama dalam air pun boleh cramp. Come on Datuk handsome,” ujar seorang lagi netizen.

Dalam pada itu, Alha turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sudi memberi infak kepada Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa sebelum ini.