Hiburan
Redza Rosli Tetap Pendirian Tak Kongsi Hal Peribadi Di Media Sosial, Syukur Peminat Sentiasa Memahami - “Mereka Bijak & Profesional”
Pelakon Redza Rosli mengakui dia kini lebih selesa berkongsi soal kerjaya berbanding perihal peribadi di media sosial biarpun sudah mendirikan rumah tangga.
Tak Kongsi Hal Peribadi
Bercakap kepada Gempak, Redza menyifatkan kisah peribadi tidak perlu diuar-uarkan kepada umum sebaliknya simpan sendiri sahaja.
“Saya pun tak suka kongsi kehidupan saya di media sosial. Apa saja yang saya kongsi di media sosial adalah soal kerja saja.
“Dari dulu pun kehidupan saya lebih selesa kongsi perihal kerjaya.
“Biarlah kisah peribadi itu saya simpan sendiri sahaja,” katanya.
Redza ditemui di majlis tayangan perdana drama bersiri Di Hatiku Ada Kamu, di Petaling Jaya, pada Rabu.
Syukur Peminat Memahami
Sentiasa menghargai peminatnya, Redza memaklumkan peminatnya itu sudah memahami pendiriannya yang enggan berkongsi kisah peribadi.
“Saya menghargai sangat bila lihat ada yang datang dari jauh menyokong saya.
"Mereka sangat bijak dan profesional tentang yang mana patut dikongsi atau tidak. Apa yang perlu disimpan hanyalah untuk diri kita saja tahu,” ujarnya lagi.
Membintangi drama Di Hatiku Ada Kamu, Redza meluahkan rasa teruja dengan sokongan yang diberikan penonton.
“Saya bersyukur melihat maklum balas yang diberikan kerana lakonan saya sampai ke hati mereka,” katanya.
Drama Di Hatiku Ada Kamu sedang ditayangkan di platform penstriman Viu setiap hari Khamis hingga Sabtu.
Untuk rekod, Redza mendirikan rumah tangga bersama pelakon Bella Hana pada 21 Jun lalu di Forest Valley Hall, Cheras.