Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Remaja Lelaki Didakwa Bunuh Nuraina Humaira

Gempak
27/08/2024 03:25 MYT
Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Selasa atas pertuduhan membunuh kanak-kanak perempuan Orang Asli, dua minggu lalu.

Tiada Pengakuan Direkodkan

Tertuduh berusia 17 tahun itu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Nuraina Humaira Rosli, 10, di kawasan berpaya Kampung Bersah, Pos Kuala Mu dekat Lasah antara jam 2.30 petang hingga 5 petang pada 16 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan dan untuk kanak-kanak, ditahan penjara selama mana diperkenan di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, RS Vitthiyeswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia, patalogi, laporan prestasi pelajar dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Selasa.

Media melaporkan, polis menahan reman seorang remaja lelaki yang juga saudara terdekat mangsa pada 19 Ogos lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak berkenaan dirogol dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di kawasan mangsa ditemui.

Perkara itu hasil laporan bedah siasat yang menemui kesan koyakan pada kemaluan dan kecederaan akibat tekanan pada bahagian leher mangsa.

Mayat murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di kampung berkenaan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 16 Ogos lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Nuraina Humaira, Remaja Lelaki 17 Tahun Ditahan Polis

ARTIKEL BERKAITAN: Ada Koyakan Pada Kemaluan, Nuraina Humaira Mungkin Dirogol Sebelum Dibunuh - Polis

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-Kanak Perempuan Ditemui Mati Selepas Hilang Sejak Jumaat


Sumber: Sinar Harian

#Bunuh #Kanak-Kanak #Remaja #Lelaki #Orang Asli #Dakwaan #Didakwa