Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Remaja Lemas Ketika Mandi Sungai Bersama Rakan

Awani
23/08/2024 03:31 MYT
Kegembiraan tujuh sekawan mandi di Sungai Terengganu di Kampung Batin di Seberang Takir, Terengganu, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas petang semalam.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Muhammad Hafiz Mohd Nor berkata dalam kejadian kira-kira 4.05 petang itu, mangsa Nor Danish Hafidz Nor Azman, 15, dikatakan mandi di sungai terbabit setelah pulang dari sekolah bersama rakan-rakannya.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.22 petang dan sampai ke lokasi kejadian pada 4.29 petang dengan kekuatan enam anggota dari BBP Kuala Terengganu dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta empat jentera termasuk FRT (Fire Rescue Tender).

"Mayat mangsa ditemukan pada 5.40 petang setelah pasukan penyelamat melakukan selaman pertama pada 5.35 petang, pada jarak 50 meter dari tebing dan kedalaman tiga meter di dasar sungai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Beliau berkata mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak setelah pulang dari sekolah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, rakan mangsa, Muhammad Farid Ashraf Faizul, 15, berkata kejadian berlaku apabila Nor Danish Hafidz berjalan di atas sebuah tongkang yang berlabuh di tepi sungai, sebelum dia terjun ke sungai dan kemudiannya dipercayai mengalami kekejangan kaki.

"Tiba-tiba dia dilihat seperti mengalami kekejangan kaki dan tangannya terkapai-kapai, jadi saya pun turun ke sungai untuk cuba menyelamatkannya, namun saya tidak cukup nafas dan terpaksa kembali semula ke tebing.

"Selepas itu, seorang kawan kami terus memanggil orang kampung untuk meminta bantuan," katanya.

Remaja itu berkata, pada Rabu, Nor Danish Hafidz yang tinggal di Taman Permint Perdana Fasa Dua di Kampung Batin dekat sini turut mandi di lokasi sama dan hampir lemas, namun terselamat.

"Tetapi, hari ini dia (mangsa) sekali lagi ingin mandi di sungai itu dan katanya hendak mandi untuk kali terakhir," katanya.

BERITA TRENDING: Tiga Kanak-Kanak Ditahan, Serang Rumah Pakai Busur & Anak Panah

BERITA TRENDING: Rompak, Perkosa, 'Sumbat' Mayat Ke Dalam Bagasi

BERITA TRENDING: Akibat Tak Diajak Selfie, Lelaki Tergamak Cekik Kekasih

BERITA TRENDING: Diminta Hantar Makanan Ke Balai Polis, Pelanggan Rupa-Rupanya...


Sumber: Astro Awani menerusi BERNAMA

#Lemas #Sungai #Remaja #Mandi #Kawan