Kali terakhir filem Child’s Play dipertontonkan di pawagam adalah sekitar 2017 menerusi Cult of Chucky.

Selepas itu, hampir dua tahun juga penonton direhatkan daripada bayangan patung seram ini.

Namn tahun ini penonton sekali lagi akan disajikan dengan filem terbaru Child’s Play dalam versi reboot.

Mengapa reboot? Ini yang anda perlu tahu sebelum menonton filem Child’s Play.

#1 Bukan Lagi Patung Yang Hidup Dalam Kawalan Roh Jahat

Jika dulu Chucky dikenali sebagai patung yang dirasuk roh jahat, namun kali ini penonton terpaksa terima hakikat Child’s Play 2019 hanya sekadar patung yang dijana sistem kecerdasan buatan (AI).

Tapi jangan cepat melatah! Biarpun Chucky kali ini dikawal oleh AI, namun tahap ganasnya masih mampu buat penonton tak senang duduk.

Malah jalan penceritaan sebegini dilihat lebih logik dan senang dihadam oleh generasi zaman sekarang yang serba moden.

Kemajuan teknologi dalam filem ini dapat dilihat apabila Chucky mampu mengawal peralatan eletronik dan alat permainan yang lain.

Filem Childs Play sedikit sebanyak memaparkan bagaimana AI boleh menjadi musuh manusia sekiranya berlaku kesilapan.

#2 Muka Tak Ganas, Tapi Logik

Yes, wajah Chucky kali ini lebih hodoh dan tidak ganas berbanding filem terdahulu.

Namun jika difikirkan balik, patung ini dihasilkan untuk menjadi teman manusia untuk melakukan kerja-kerja harian di rumah.

Oleh itu ia tidak logik jika dihasilkan dengan wajah yang seram dan 'creepy'.

Walaubagaimanapun ini tidak bermakna Chucky 2019 ini tidak seram. Tunggu saja sehingga protokol kekejamannya diaktifkan, memang psiko!

Paling penulis tak boleh lupa, hadiah kepala tembikai daripada Chucky, memang psiko habis!

#3 Gaya Pembunuhan Kejam Ala filem Saw!

Tidak lengkap rasanya mengulas tentang filem Childs Play jika tidak menyentuh elemen bunuh membunuh.

Perlu diingatkan motif pembunuhan Chucky ini berbeza dengan motif pembunuhan filem terdahulu. Kali ini misi utama Chucky untuk menjadi satu-satunya kawan Andy.

Oleh demikian, sesiapa saja yang mendekati atau mencederakan Andy maka mautlah yang menanti.

Pada pendapat penulis tahap keganasan dan gaya pembunuhannya filem ini boleh dikatakan agak agresif.

Sampai satu tahap memang penulis terpaksa menutup mata kerana babak ganasnya sangat tragis.

Senang cerita, janganlah bawak anak kecil untuk menonton filem ini. Pihak GSC sendiri sudah mengeluarkan amaran memandangkan filem ini diklasifikasikan sebagai 18PL.

Filem ini telah digarap dengan baik walaupun tidak menggunakan elemen roh jahat seperti terdahulu. Bukan lah AI itu tidak kejam, tapi ia telah 'memotong' sedikit mood pada awal filem.

Secara keseluruhan, Child's Play berjaya membuatkan segala adrenaline anda mencanak-canak naik.

Penulis beri 3.7/5 untuk Child's Play 2019