Bermula dengan animasi terbitan Disney, Mulan kemudian diangkat sebagai filem ‘live-action’ dan telah pun ditayangkan di pawagam sekitar September lalu.

Namun, disebabkan pandemik yang seakan tiada kesudahan, mungkin ramai peminat yang terlepas untuk menonton filem ini.

Namun, Astro kini membawakan Mulan terus ke pawagam rumah anda menerusi saluran Astro Best (Saluran 481) atau On Demand Store.

Jika ada masih ragu-ragu untuk menonton, ini antara ulasan Gempak.

Secara ringkasnya Mulan mengisahkan seorang wanita dari China yang telah menyamar sebagai seorang lelaki bagi menggantikan bapanya demi menyelamatkannya daripada kerahan tentera.

Jalan ceritanya biarpun nampak agak kompleks kerana membabitkan konflik keluarga dan perebutan kuasa kerajaan, namun Mulan sebenarnya sangat mudah difahami.

Jika tidak pernah menonton animasi Mulan sekitar 90-an sekali pun, tidak perlu bimbang kerana jalan ceritanya tidak berbelit-belit.

Selain itu, apa yang menjadi kekuatan filem ini adalah kehebatan barisan pelakonnya.

Bukan biasa-biasa, Mulan menampilkan ramai pelakon kelas A seperti Jet Li, Donnie Yen dan Gong Li.

Namun, pujian harus diberi kepada pelakon utamanya iaitu Liu Yifei kerana berjaya membawa watak Mulan dengan cemerlang.

Daripada watak gadis kampung yang degil hinggalah menjadi pahlawan negara, lakonannya agak meyakinkan.

Dalam pada itu, sinematografi filem ini juga agak ‘mahal’ kerana banyak shot yang dipamerkan sangat cantik.

Adakalanya penulis keliru adakah ia kesan khas CGI ataupun lokasi tersebut benar-benar wujud.

Dalam Mulan juga terdapat watak ahli sihir yang dibawa oleh Gong Li, maka banyaklah elemen CGI untuk menghasilkan magis dalam beberapa babak dalam filem ini.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)

Soal props pula tidak boleh disangkal kerana Mulan adalah sebuah filem Disney, maka aspek ini dihasilkan dengan teliti.

Penggunaan props serta elemen dinasti China itu sangat cemerlang dan anda mungkin akan terbuai-buai dengan keindahan props dalam filem, sangat klasik!

Tidak lengkap rasanya untuk menyentuh soal aksi dalam filem Mulan.

Apabila melihat barisan pelakon handalan yang membintangi Mulan, pastinya aksi kung fu tidak terkecuali.

Malah, ia menjadi tunjang dan kekuatan utama dalam filem ini. Apa yang pasti babak pertarungan, perang dan aksi kung fu dalam Mulan sangat menarik untuk ditonton.

Kesimpulannya, Mulan meneruskan legasi filem Disney yang cukup cemerlang.

Filem ini mempunyai nilai estetika tersendiri dan kisah Mulan pastinya terus menjadi siualan anak muda selepas ini.

Rating Gempak : 7/10

Jika mahu menonton Mulan, anda boleh sewa di Astro Best (Saluran 481) atau On Demand Store.

Hanya sambungkan PVR Box anda ke Wi-Fi dan strim pada bila-bila masa.

Muat turun juga aplikasi Astro GO untuk strim filem-filem blokbuster dalam keselesaan rumah anda. Untuk maklumat lanjut, sila ke content.astro.com.my.