"Rezeki Dalam Bidang Lakonan Selalu Ada" - Putra Amaris Tak Gusar Kehadiran Ramai Pendatang Baru

Kamaruddin Razal
September 25, 2019 23:25 MYT
Pelakon Putra Amaris meluahkan rasa syukur apabila rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus.
Biarpun dunia hiburan dibanjiri dengan kehadiran pendatang baru, Amaris tetap rancak menerima tawaran lakonan.
"Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur kerana lebih tiga belas tahun terlibat dalam dunia lakonan, rezeki saya tak pernah putus dan sentiasa ada.
"Saya tak risau dengan kehadiran pelakon baru, malah saya mengalu-alukan kedatangan mereka dalam industri seni.
"Sejujurnya, saya tak mahu bersaing dengan pendatang baru. Lebih baik kita bersama-sama memeriahkan industri lakonan tempatan dengan produk yang berkualiti," katanya.
Tambah Amaris, dia juga berjinak-jinak melibatkan diri dalam dunia perniagaan dan mendapat maklum balas yang baik dari pelanggan.
"Selain lakonan, saya juga melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Alhamdulillah, perniagaan 'portuguese egg tart' yang diberi nama Amaris MyTart saya usahakan bersama isteri mendapat respon yang sangat positif.
"Saya juga baru sahaja berkolaborasi dengan jenama wangian Francesc Fragrance. Kami menghasilkan minyak wangi Francesc Fragrance x Putra Amaris. Saya berharap bisnes saya mendapat sambutan," katanya lagi.
Untuk rekod, Amaris mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Nur Syazwani Alias pada 5 Januari 2018.
Pasangan ini dikurniakan seorang anak, Putra Asytar pada 20 November tahun lalu.
#pelakon #Pelakon #Putra Amaris