Penyampai radio popular, Tyzo Xander memaklumkan dia mendapat tawaran daripada empat buah stesen radio.

Menganggapnya sebagai rezeki, Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris berkata setakat ini perbincangan sudah dilakukan di peringkat akhir menerusi pihak pengurusannya untuk membuat pemilihan.

“Alhamdulillah saya menerima tawaran dari empat stesen radio cuma saya masih menantikan kerana hari terakhir saya bersama Suria FM adalah pada 9 Mac nanti.

“Saya tak sabar nak habis sebab saya pun tak sabar nak memulakan kembali karier penyiaran radio saya dan insya-Allah mungkin Isnin (esok) nanti saya akan umumkan stesen radio yang mana saya akan pergi.

“Saya belum boleh kongsikan lagi stesen mana sebab masih dalam perbincangan terakhir dan belum ada kata rasmi.

“Saya pun tak tandatangani apa-apa lagi. Jadi saya pun tak nak katakan apa-apa tapi insya-Allah Isnin saya akan umumkan,” katanya ketika ditemui Gempak.

Tyzo berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis perasmian Fiesta PERKESO Membawa Senyuman di pusat beli belah My Town, pada Sabtu.

Jelas Tyzo lagi, dia memilih tawaran yang akan memberikan jaminan kepada kehidupan dirinya untuk jangka masa panjang.

“Dalam sehari dua ini kita baru nak ‘finalize’ bersama pihak pengurusan. Saya pun tak nak tunggu lama, sebab terlalu ramai yang bertanya pada saya.

“Tapi saya memilih stesen itu kerana merasakan ia boleh menjamin kehidupan saya sebab kalau saya pilih mana-mana stesen pun untuk menjamin kehidupan saya.

“Namun tak kisah stesen swasta atau kerajaan mana pun, saya harap saya akan dapat sokongan pendengar.

“Jujurnya saya tidak sabar sebab sudah dua bulan saya tidak berada di radio sehingga saya perlu membuat podcast,” ujarnya.

Selain itu, penyampai radio itu juga memberitahu pada 29 Februari lalu dia bersama rakan-rakannya telah menubuhkan sebuah NGO yang diberi nama Kasih Tyzo.

“Menerusi pertubuhan ini, ia memberi manfaat kepada anak yatim, orang tua, orang kelainan upaya (OKU), asnaf dan artis-artis yang terpilih.

“Saya juga akan berkolaborasi dengan pelakon Putra Amaris untuk menjayakan NGO yang baru sahaja saya tubuhkan ini,” jelasnya.

BERITA TRENDING: Tyzo Dedah Dipaksa Undur Diri Jadi Penyampai Radio - "Minta Maaf Ini Bukan Keputusan Saya"

BERITA TRENDING: Netizen Lancar Petisyen, Desak DJ Lin Letak Jawatan?

Terdahulu, kontrak Tyzo bersama Suria FM tamat pada 9 Mac depan.

Berita pemecatan Penyampai Radio Popular ABPBH35 itu mengejutkan ramai berikutan segmen Suria Petang kendaliannya bersama Rara antara slot yang menjadi kegemaran ramai pada waktu petang.