Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Riezman Khuzaimi Mana Nafkah Anak-Anak? - Kartina Ayoob

Fiza Kamarudin
06/03/2017 12:00 MYT
Kartina Ayoob, bekas isteri kepada pelakon Riezman Khuzaimi, meluahkan rasa kesal kerana aktor tersebut sehingga kini gagal melangsaikan hutang dan membayar nafkah anak-anak serta iddah kepadanya.
Menurut Kartina, 48, mendakwa Riezman mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak-anak mereka, Afiq Kiraman, 14, dan Ruzain Nars, 9.
“Sejak dari awal perkahwinan kami pada 2001, Riezman tidak pernah memberi sebarang nafkah kepada saya sebagai isterinya. Apatah lagi duit perbelanjaan lain.
“Selepas bercerai pun, dia langsung tidak ambil peduli tentang bayaran iddah dan nafkah kepada Afiq dan Ruzain.
“Riezman berhutang dengan kawan-kawan dia, saya yang langsaikan sehingga sekarang. Saya malu, kerana dia saya hilang kawan.
“Selama ini saya hanya berdiam diri kerana sudah pernah melakukan perbincangan dengan Riezman tentang perkara tersebut dan dia pernah berjanji untuk melangsaikan hutang-hutangnya.
“Tetapi nampaknya janji tinggal janji.
“Dia turut menyekat saya daripada akaun Facebooknya,” katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Kartina, dia bukanlah hendak memburuk-burukkan nama bekas suami, sebaliknya hanya mahu Riezman lebih bertanggungjawab dan tidak lepas tangan.
“Jadilah seorang gentleman. Bertanggungjawablah. Sejak hari pertama kami berkahwin saya yang tanggung keluarga. Malah, bayaran menguruskan perkahwinan, urusan rumah, anak sakit semuanya saya.
“Sejak dahulu pun kalau dia (Riezman) ada duit dia akan berbelanja sesuka hati untuk dirinya sendiri,” luahnya ketika menghubungi Astro Gempak.
Dalam pada itu Kartina berharap agar Riezman berani tampil menjelaskan perkara ini dan menjelaskan hutang-hutangnya.
“Saya mahu dapatkan hak anak-anak saya, itu sahaja,” katanya.
Kartina kini menetap di Perth, Australia sejak tiga tahun lalu bersama tiga anaknya termasuk anak sulung hasil perkahwinan pertamanya, Tatiana Batrisya, 22.
#pelakon #Pelakon #Riezman Khuzaimi #Kartina Ayoob #Riezman Khuzaimi
;