Filem arahan Haji Zil, Seandainya Kau Ada telah menjengah pawagam rumah anda menerusi Astro First (saluran 480) mulai 29 April lalu.

Menerusi tinjauan Gempak di media sosial, kebanyakan penonton filem ini berpuas hati dengan jalan cerita dan kualiti keseluruhannya.

Antara keistimewaan Seandainya Kau Ada adalah mesej yang disampaikan menerusi dialog dalam beberapa babak filem ini.

Antara yang boleh dijadikan pengajaran adalah babak ibu Syahirah (Fauziah Nawi) mengenang anaknya yang tidak pulang menjelang Aidilfitri hingga hampir terlupa menambah ibadah.

Kemudian, selepas dinasihati untuk memperingatkan kebesaran Allah dan memahami erti sebenar Aidilfitri, barulah ibu Syahirah sedar akan kesilapannya.

Dari situ, pengajaran yang dapat diambil, apapun yang terjadi atau menghalang kita beraya bersama keluarga terutamanya ketika pandemik COVID-19 ini, jangan sesekali kita lupa untuk mengumpul pahala dan meraikan hari kemenangan mengikut landasan Islam yang sebenar.

Dibintangi oleh Raysha Rizrose, Ruhainies, Fendy Bakry, Fauziah Nawi dan ramai lagi, Seandainya Kau Ada boleh ditonton selama 48 jam, secara berulang dengan hanya RM15 menerusi sewaan di Astro First.

Anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.