Pelakon berbakat, Elfira Loy berkongsi pengalaman beraya dalam berhadapan pandemik COVID-19 buat kali kedua tahun ini.

Menurut Elfira, perubahan cara beraya kini membuatkan dia lebih menghargai momen dan perkara-perkara kecil di sekelilingnya.

"Sebelum ini saya memang selalu beraya di kampung, keluarga kami besar, tapi sudah dua kali kita beraya dalam keadaan negara berhadapan pandemik COVID-19.

"Jadi, sudah tentu saya tak dapat balik kampung dan beraya seperti sebelum ini, tetapi sejak keadaan ini berlaku, ia membuatkan saya lebih menghargai momen dan perkara-perkara kecil yang ada.

"Saya pun ada keluarga sendiri, suami dan anak, jadi saya boleh luangkan lebih masa bersama mereka," katanya.

Tambah Elfira, beraya dalam situasi sekarang juga membuatkan dia lebih peka dengan kerja-kerja persiapan lebaran.

"Beraya dalam situasi sekarang juga membuatkan kita sedar untuk melakukan kerja-kerja persiapan seperti menghias rumah, memasak dan sebagainya.

"Macam sebelum ini kalau beraya di kampung, selalunya nenek yang akan masak juadah raya," kongsinya lagi.

Dalam pada itu, ibu kepada seorang anak ini juga amat merindui cara bermesra menyambut Aidilfitri seperti sebelum wujudnya wabak COVID-19.

"Antara yang paling saya rindu ketika beraya adalah berjumpa ramai orang dan berpelukan mesra dengan teman taulan.

"Bila jumpa sahaja tak dapat peluk rasanya tak cukup lepas perasaan rindu," katanya lagi.