Hiburan
"Rindu Paling Menyakitkan Adalah Pada Yang Meninggalkan" - Farahdhiya
Pelakon dan penyanyi Farahdhiya mengenang pemergian bapanya, Allahyarham Mohd Amin Zubir yang telah meninggal dunia kira-kira dua bulan lalu.
Farah berkongsi perkara itu menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan ramai.
Menurut Farah, dia merasakan masa sangat cepat berlalu dan masih tidak puas menjaga arwah bapanya itu.
"Saya berkongsi sedikit momen indah bersama hero saya, sudah 60 hari Dada pergi meninggalkan. Sekejap sangat masa berlalu, sejujurnya, Farah tak puas jaga Dada, terlalu rindu untuk jaga Dada, alangkah indahnya kalau
Farah masih ada ruang untuk menjaga Dada, tapi Tuhan lebih sayangkan Dada.
"Kehadiran Dada terasa singkat dalam hidup Farah, terima kasih Allah kerana mengirimkan seorang pahlawan yang tidak ada gantinya sampai bila-bila.
"Betul kata orang, rindu yang paling menyakitkan adalah rindu pada orang yang telah pergi meninggalkan kita selamanya," tulisnya sebagai kapsyen.
Dalam pada itu, Farah turut mendoakan kesejahteraan buat arwah bapanya.
"Semoga Allah memberimu kasih sayang yang berlipat ganda dan memberimu bahagia di sana, doa Farah sentiasa untuk Dada, semoga Allah terus menjagamu kesayanganku, rest well my hero, Al-Fatihah," tulisnya lagi.
Perkongsian itu mendapat perhatian dari para pengikut Farah, rata-rata mereka turut menyedekahkan Al-fatihah.
Terdahulu, bapa Farah meninggal dunia pada 9 Januar 2020.
Pada Ogos 2016, Allahyarham Mohd Amin pernah dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit Sekatan Pulmonari Kronik (COPD).
Dan kemudiannya pada September tahun sama, bapa Farah sekali lagi dikejarkan ke hospital kerana berdepan masalah paru-paru atau Pneumothorax.