Lihat saja di tepi-tepi jalan, pastinya sekarang sudah dipenuhi dengan gerai yang menjual buah durian.

Bau dan aroma 'raja buah' ini sudah tentu membuatkan ramai yang terliur.

Namun, masalah utama apabila membeli buah durian ini adalah bau kuatnya itu akan 'melekat' di dalam kereta.

Lebih teruk lagi, ia mungkin kekal selama berminggu-minggu.

Jangan risau, Gempak senaraikan beberapa petua dan tips yang sering digunakan untuk menghilangkan bau durian.


#1 Tangkai Durian


Petua ini viral sekitar dua tahun lalu dan ramai yang telah mencubanya.

Maklum balas daripada orang ramai agak bercampur baur, namun tidak rugi jika anda mencubanya.

Hanya letakkan tangkai di bahagian penghawa dingin dan tunggu hingga bau tersebut hilang.

#2 Serbuk Kopi


Penulis masih ingat pada tahun lalu yang mana penulis memilih kopi sebagai bahan utama untuk menghilang bau kereta.

Aroma kopi itu akan menyerap segala bau durian atau bau yang lain dalam bonet kereta anda.

Tidaklah terlalu berkesan, namun sedikit sebanyak membantu mengurangkan bau berkenaan.


#3 Roti Putih!


Bukan hanya sedap dimakan, malah roti juga dikatakan berkesan menghilangkan bau durian.

Letakkan beberapa keping roti di dalam kereta selama dua hingga tiga hari dan bau durian akan segera hilang.

Roti dikatakan menyerap segala bau dan kemudiannnya akan mengeras.

#4 Arang


Banyak kegunaan arang sebenarnya dan antara yang popular adalah menghilangkan bau yang tidak senang.

Beberapa produk wangian rumah juga ada menggunakan arang sebagai bahan utama.

Letakkan beberapa ketul arang di tempat yang berbau.

#5 Daun Pandan


Duan pandan antara yang paling popular kerana ia boleh didapati dengan mudah.

Memang terbukti keberkesanannya tapi daun pandan tidaklah berfungsi untuk menghilangkan bau durian.

Daun pandan sebaliknya mengeluarkan bau yang lebih kuat dan harum untuk dihidu.

Masalah yang sering dihadapi dengan daun pandan adalah apabila baunya bercampur dengan durian. Pening ya!

Apapun daun pandan masih antara yang popular digunakan sampai sekarang.