Amerika Syarikat (AS) dikatakan telah mengambil keputusan untuk mewajibkan suntikan vaksin COVID-19 kepada semua rakyatnya.

Menerusi laporan CNBC, mereka yang enggan membuat suntikan itu berkemungkinan berisiko untuk dipecat daripada pekerjaan.

Menurut laporan itu, sebahagian syarikat di AS sudah pun memulakan perlaksanaan dasar khas mengenai vaksin wabak COVID-19.

Segelintir mereka sedang mempertimbangkan untuk memecat pekerja yang menolak vaksin.

Untuk makluman, jumlah anti-vaksin di AS agak tinggi dan ramai komuniti tersebut menolak sepenuhnya kaedah berkenaan.

Ada yang bimbang terhadap kesan sampingan, tidak kurang juga yang terpengaruh dengan teori konspirasi perubatan.

Bagaimanapun, peraturan kewajiban vaksin COVID-19 di AS dikatakan tidak tertakluk pada mereka yang mempunyai sakit kronik.

Sehingga kini AS mencatatkan sebanyak 15 juta kes COVID-19 membabitkan kematian sebanyak 296,698.

Dalam perkembangan lain, Sebanyak 70 peratus rakyat Malaysia akan menerima vaksin secara percuma seawal suku pertama tahun hadapan.

Daripada jumlah itu, 20 peratus atau 6.4 juta rakyat akan menerima 12.8 juta dos vaksin yang dibekalkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer, manakala 10 peratus rakyat akan dibekalkan vaksin menerusi inisiatif pelan akses global vaksin (COVAX).

Kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah serta individu yang mempunyai masalah sistem imun tidak akan diberikan vaksin COVID-19.

Sumber: CNBC, Berita Harian