Syarikat produksi terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd membuka peluang kepada kira-kira 1,000 pelakon dan kru produksi dalam menghasilkan 12 filem dalam tempoh 24 bulan dengan pelaburan bernilai RM100 juta.

Menerusi langkah ini, ia dijangka mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 1,000 tenaga kerja bidang ini yang merangkumi artis dan kru belakang tabir yang sebelum ini terjejas teruk akibat kehilangan mata pencarian dan pekerjaan.

Menurut pengerusi Tremendous Entertainment, Datuk Jared Lim, sebagai syarikat terkemuka dalam penghasilan kandungan hiburan pelbagai platform, pihaknya berusaha untuk membantu dan menyuntik semangat baharu bagi mengembalikan semula kegemilangan industri perfileman tempatan.

“Secara purata RM5 hingga RM10 juta akan dibelanjakan untuk membuat setiap filem bergantung pada keperluan produksi filem tersebut.

“Keseluruhannya, anggaran jumlah pelakon yang diperlukan adalah 120 pelakon dari 12 filem tersebut sementara dianggarkan 600-800 anggota kru produksi akan terlibat sepanjang produksi kesemua 12 filem.

“Dengan ini, setiap filem akan terdiri daripada 2-10 pelakon utama dan pelakon sokongan untuk menjalankan peranan yang ditentukan untuk setiap filem,” katanya.

12 filem itu terdiri daripada pelbagai genre seperti komedi, aksi, drama, percintaan, filem berkala dan banyak lagi.

Tambah Jared lagi peluang dibuka kepada semua terutamanya pelakon baru yang sedang mencari kejayaan kerjaya dalam industri hiburan.

“Pelakon veteran dan popular juga berpeluang mengembangkan karier lakonan mereka ke pasaran antarabangsa dalam 12 filem ini.

“Open – Casting akan dimulakan setiap dua bulan sebelum penggambaran bermula telah pun bermula Oktober ini.

“Bergantung pada jenis watak, para pelakon yang sudah menghadiri audition berpotensi untuk membintangi tiga filem berterusan. Setiap penggambaran akan dibuat dalam jangka masa 20 hingga 35 hari setiap filem,” katanya.

Pengarah Bersama Zebra Studio dan pemenang anugerah antarabangsa CL Hor berkata, peluang ini wajar diambil oleh penggiat seni tanah air untuk mengembangkan kreativiti mereka sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Sudah tentu, ini bukan sahaja memberi peluang untuk membantu para pelakon yang berjuang tanpa mengira bangsa, tetapi juga untuk menyatukan semua orang dalam industri hiburan bersama-sama bergantung kepada Pengarah dan Pengarah Fotografi setiap filem,” katanya.