Artis versatil, Roslan Shah memaklumkan telah menghubungi jutawan kosmetik Datuk Seri Vida bagi menjelaskan kekeliruan terhadap pendedahan bermimpi mengahwininya semalam.

Jelas Roslan, tidak terlintas di fikirannya untuk mencari publisiti murahan atau strategi pemasaran sekali gus menganggap ia hanya mainan tidur.

"Maaf kata, Cik Lan hanya mimpi saja bukan isu ini serius pun dan sudah hubungi Datuk Seri Vida kasi settle dan tiada niat mencari publisiti murahan atau marketing pun. Tak terlintas di fikiran.

"Jodoh, ajal dan maut Allah tentukan, Cik Lan akui Cik Lan seorang lembut dan jangan menghina dan mengutuk dari luaran saja ya tetapi sifat kelelakian itu tetap ada dan nafsu... sebagai manusia boleh berubah apa.

"Janganlah isu ini diviralkan sampai ada netizen memaki hamun serta menghukum Cik Lan," katanya.



Dalam pada itu, Roslan akui dirinya bukan individu sempurna untuk menawan hati Vida.

"Isu ini hanya mainan mimpi saya, Cik Lan memang tak layak pun berkahwin dengan Vida kerana Cik Lan bukan orang kaya raya pun.

"Sebagai manusia ada yang suka dan ada yang benci, itu semua lumrah kehidupan kita diuji Allah. Yang penting kita jaga ibu dan ayah hingga akhir hayat, walaupun kita seorang lembut, dihina atau dicaci manusia.

"Tak semestinya seorang lembut tak boleh bercinta ya. Dulu Cik Lan panas baran. Setelah arwah ibu sakit dan menjaganya hingga akhir hayat, Cik Lan banyak belajar dari kesilapan dan cool, tak suka ambil tahu hal orang," tambahnya.

Roslan juga memaklumkan telah menghubungi bakal suami Vida, Iqbal Zulkefli untuk memohon maaf berhubung kenyataan yang tular tentang mimpi tersebut.

Respon Iqbal, dirinya tidak terasa dan menganggap ia sebahagian daripada hiburan kepada netizen.

"Oh tak apa-apalah Cik Lan, saya langsung tak terasa. Sekurang-kurangnya ada juga hiburan buat saya dan netizen. Saya sangat tahu Cik Lan orang sangat baik hati, setiap kali kita jumpa.

"Saya nampak Cik Lan post, sebak pula saya baca, saya jadi teringat kisah arwah ibu Cik Lan.

"Di saat saya bersedih ni, Cik Lan cubalah pujuk DSV untuk nikah dengan Cik Lan. Anak mereka mahu orang yang lebih dewasa," balas Iqbal menerusi perbualan mereka.



Terdahulu, dek kerana terlalu banyak laporan kisah hubungan Vida dan Iqbal, Roslan memberitahu dirinya tiba-tiba bermimpi mengahwini Vida pada Isnin.

"Cik Lan mimpi berkahwin dengan Datuk Seri Vida pula. Cik B dan Kacak terima Cik Lan seadanya. Mimpi kali pertama," tulis Roslan.