HIBURAN
Roslan Shah Nafi Curi Duit RM66,000 - “Saya Ikhlas Berkawan, Tak Pernah Terlintas ...”
Pengacara dan pelakon Roslan Shah tampil menafikan tuduhan mencuri wang berjumlah RM66,000 (SGD20,000) milik pempengaruh serta usahawan terkenal Singapura, Mangobossku, selepas video berkaitan insiden itu tular di TikTok.
BERITA TRENDING: Kecoh Mangobossku Dakwa Roslan Shah Curi RM66,000? - “Cakap Tak Ambil Tapi Duit Dalam Beg”
Menurut Roslan, dakwaan bahawa wang tersebut ditemui di dalam begnya sebenarnya adalah sebahagian daripada ‘ujian kejujuran’ yang dirancang oleh Mangobossku sendiri.Ujian kejujuran
Roslan menjelaskan bahawa dia mengenali Mangobossku lebih daripada setahun dan menganggapnya sebagai keluarga sendiri.
“Mangobossku memang selalu bergurau kasar, tapi saya tak pernah ambil hati sebab saya kenal hati budi dia.
“Selama lebih setahun perkenalan kami, dia memang orang yang baik. Saya sudah anggap dia macam keluarga sendiri.
“Selain Mangobossku, saya juga rapat dengan isteri dan anak-anaknya. Mereka memberi kepercayaan penuh kepada saya, termasuk pernah memberi kata laluan untuk masuk ke rumah yang dipenuhi barang berharga termasuk wang tunai.
“Malah mereka selalu bawa saya bercuti ke luar negara. Jadi untuk saya mencuri duit jualan memang tidak pernah terlintas. Saya ikhlas berkawan dan tidak mahu rosakkan persahabatan,” katanya kepada Gempak.
BERITA TRENDING: “Semoga Pengakhiran Hidup Kami Ke Jalan Diredai” - Sengketa 7 Tahun Berakhir, Ifa Raziah & Roslan Shah Niat Buat Majlis Kesyukuran
Walaupun ada pihak yang cuba menjejaskan persahabatannya dengan Mangobossku, Roslan menegaskan hubungan mereka kekal baik kerana dia tidak pernah mengambil kesempatan atas kesenangan orang lain.
“Banyak mata yang memandang dan mahu menjejaskan persahabatan kami. Sejak video ini tular, ramai yang menelefon Mangobossku bertanya mengenai hal itu.
“Namun dia percaya saya 100 peratus. Dia sahabat yang baik dan saya tidak tergamak melakukan sesuatu yang dia tak suka,” ujarnya.
Mangobossku sengaja uji kejujuran Roslan
Mangobossku, yang kini menjalankan perniagaan kunafa serta memiliki 13 gerai makanan di Singapura, menjelaskan bahawa dia sengaja memasukkan wang tersebut ke dalam beg Roslan untuk menguji kejujurannya.
“Ketika Roslan pergi ke tandas, saya minta kakitangan masukkan duit tunai SGD20,000 ke dalam beg miliknya.
“Jadi ketika dia membuat siaran langsung di TikTok, saya pun jalankan kerja dan mencari duit yang hilang.
“Sepanjang mengenalinya, dia tidak pernah mencuri. Kalau dia tiada duit, dia akan minta dengan saya.
“Pernah saya tinggalkan duit ketika dia ada, satu sen pun tak hilang. Saya selalu saja bawa duit jualan ke rumah dan mengajaknya, tapi dia tak pernah mencuri atau ambil barang saya,” jelasnya.
Mangobossku atau nama sebenarnya Mohammad Hussin Said menambah bahawa walaupun video ujian kejujuran itu menerima kecaman hebat, dia tidak ambil peduli.
“Walaupun orang kecam, saya hanya mampu cakap apa saja kandungan yang dimuat naik, anda tengok boleh, tapi jangan percaya dengan melulu,” katanya.
Video Tular, Reaksi Warganet Berbelah Bahagi
Dalam video berdurasi lebih dua minit itu, Roslan pada mulanya menyangka bahawa Mangobossku hanya bergurau atau melakukan ‘prank’. Namun, keadaan bertukar serius selepas wang SGD20,000 benar-benar dijumpai dalam begnya.
Roslan, yang menafikan tuduhan mencuri, kelihatan menangis teresak-esak sambil mempertahankan dirinya.
Video yang dikongsikan oleh Mangobossku di TikTok telah meraih hampir 200,000 tontonan dan mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.
Ada yang bersimpati dengan Roslan, namun tidak kurang juga yang membuat spekulasi bahawa penyanyi itu mungkin telah dianiaya.