Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Rumah Di Kampung Mula Dimasuki Air Banjir, Faye Kusairi Risau Bapa Tinggal Seorang Diri

ZULHILMI JALIL
13/01/2021 03:20 MYT
Pelakon Faye Kusairi meluahkan rasa bimbang apabila kampung halamannya di Miri Sarawak mula dinaiki air banjir selepas hujan turun tanpa henti sejak malam tadi.

Menurut Faye atau nama sebenarnya, Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 34, lebih merisaukan apabila memikirkan keselamatan bapanya yang kini tinggal seorang diri.

"Hari ini hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dan malam tadi air pasang besar dan hujan lebat tak berhenti di Miri.

"Rumah kami di Lutong terjejas dan bapa saya seorang diri di sana," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Dalam entri berkenaan, Faye turut berkongsi beberapa keping foto keadaan kampungnya yang mula dinaiki air.

A post shared by ???? ??????? ???????? (@fayekusairi)



Jelas Faye lagi, tambah rungsing apabila dia juga tidak boleh pulang ke kampung berikutan tiada penerbangan yang ada ketika ini.

"Mudahan hujan berhenti dan air surut tidak lama lagi. Tiada penerbangan dalam waktu terdekat untuk pulang. Lagi pula kes Covid-19 naik, banjir lagi.

"Semoga hujan berhentilah. Susah hati memikirkan bapa seorang di sana dengan keadaan air banjir makin naik. Bertabah Yan. Memang benar-benar mencabar mental dan emosi saya waktu-waktu begini," jelasnya.

Pada masa sama, Faye turut menasihati penduduk di Miri untuk menjaga diri masing-masing.

"Kepada mereka yang terjejas dengan banjir di Miri, jaga diri kalian ya. Siapa yang tinggal berdekatan sungai Lutong, awasi diri anda ya. Sungai kita berbuaya ya. Hati-hati okay," pesannya.

#pelakon #Faye Kusairi #Banjir #Bapa #Kampung
;