Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Rupa-Rupanya Sabari Dibunuh Kerana Cam Wajah Suspek

Gempak
03/10/2024 06:42 MYT
Kejam apabila tergamak mengikat tangan dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat sebelum dicampak ke sungai hanya kerana bagi menghapuskan bukti selepas mangsa mengenali wajah suspek yang menyamunnya.

BERITA TRENDING: Polis Sahkan Sabari Dibunuh, Dicampak Ke Dalam Sungai

Itu motif pembunuhan Sabari Baharom, 62, pesara pegawai kewangan Felcra di Baling yang hilang sejak 4 September lalu selepas soal siasat ke atas dua lelaki yang ditahan, Jumaat lalu mendedahkan niat mereka ingin menyamun namun wajah suspek dicam mangsa ketika kejadian itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, soal siasat ke atas dua suspek berusia 26 dan 38 tahun, motif pembunuhan kerana samun.

Menurutnya, bagaimanapun ketika kejadian samun itu, mangsa mengenali suspek menyebabkan mereka mengambil tindakan mengikat tangan dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat sebelum mencampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu.

"Perbuatan mereka itu selepas mangsa cam wajah suspek menyebabkan mereka mengambil tindakan itu (membunuh)," katanya kepada Harian Metro.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kehilangan Sabari akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan mangsa dicampak ke dalam Sungai Padang Terap.

Persoalan itu terjawab selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit melakukan perbuatan itu.

Dalam kejadian itu, Sabari dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu dalam keadaan tangan diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

Fisol berkata, hasil soal siasat dijalankan, pengakuan dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa dicampak ke dalam Sungai Padang Terap.

"Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha mencari masih dilakukan," katanya.

Susulan itu, Fisol berkata, siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang yang membabitkan mangsa dan dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu bunuh.

Beliau berkata, polis juga memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa.

Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangan mangsa menjadi misteri oleh ahli keluarganya apabila kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, namun mangsa dilaporkan tiada di tempat kejadian.



Berikutan itu, ahli keluarga mangsa mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.

Pelbagai usaha mencari dilakukan oleh ahli keluarga namun Sabari masih gagal dikesan.

Sumber: Harian Metro
#Viral #Bunuh #Polis #Sungai #Kedah #Campak #Sabari Baharom
;