Festival muzik indie terbesar, Riot Fest yang sepatutnya berlangsung di MAEPS Serdang pada 4 Mac ini ditangguhkan gara-gara penularan wabak COVID-19.

Menurut satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh penganjurnya iaitu Bro Empire Entertainment, keputusan tersebut dibuat setelah melakukan beberapa perjumpaan dan perbincangan bersama ahli yang terlibat.

"Kami mengambil serius tentang keselamatan, kesihatan panel artis, pekerja serta seluruh pihak yang terlibat dengan RIOT Fest 2020.

"Kami berharap bahawa semua pihak dapat mengikuti segala perintah dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membendung wabak COVID-19 daripada menular.

"Perhimpunan besar seperti ini hanya bakal mengundang padah jika diteruskan buat masa ini," kata kenyataan berkenaan.

Tambah Bro Empire Entertainment dan semua pihak terlibat kini sedang giat bekerjasama untuk memberikan satu tarikh baru untuk RIOT Fest 2020.

"Bagi sesiapa yang sudah membeli tiket, Tiket anda akan kekal sah untuk digunakan pada tarikh baru yang bakal diumumkan kelak.

"RIOT Fest 2020 akan kembali tidak lama lagi. Nantikan pengumuman daripada kami. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi 012-6503385," katanya.

Untuk makluman, antara kumpulan yang sepatutnya beraksi dalam RIOT festival termasuklah Hujan, Bunkface, Toko Kilat, Bittersweet, Plague of Happiness, Salamuzik dan ramai lagi.

Malah, festival ini tutut dimeriahkan dengan penampilan khas Aman RA.

BACA: Rusuhan Muzik Indie Terbesar Bakal Berlangsung Di Riot Fest April Ini