Penyanyi Ryan Deedat muncul dengan single terbaru berjudul Menari Dalam Gelap (MDG).

Merupakan single keempat Ryan, lagu ini mengisahkan mengenai pengalaman penyanyi ini sendiri berhadapan dengan masalah anxiety.

"Tercetusnya idea untuk menulis lagu ini adalah ketika kita berhadapan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya mengalami masalah kebimbangan (anxiety).



"Ketika itu, perasaan kebimbangan ini mencetuskan perasaan takut terkena jangkitan COVID-19, saya memikirkan mengenai masalah ketidaktentuan karier dan pada masa yang sama, saya bimbangkan kesihatan ibu saya.

"Pada masa itu, saya menyertai sebuah group di Facebook iaitu 'Gerd and Anxiety'. Di situ saya nampak ramai sebenarnya yang mempunyai pengalaman seperti saya. Malah ada yang lebih teruk," katanya.

Menulis lagu ini bersama Heil Nuan, MDG bertujuan untuk memberikan kesedaran kerana ramai orang tidak memahami masalah kebimbangan dan depresi.

"Saya nak mewakili orang-orang yang ada masalah ini dengan cara saya menulis lagu ini. Selain itu, saya mengekspresikan perasaan orang yang mempunyai masalah kebimbangan dan depresi dalam lagu ini.

"Lagu ini mengangkat rentak trap pop dan ia kena dengan trend muzik semasa. Jadi, lagu ini bukan hanya boleh berkait dengan orang dewasa, tetapi boleh menyentuh jiwa remaja yang berhadapan dengan masalah ini," katanya lagi.