Hiburan
Sabrina Azhar Kongsi Insiden Rakan Terima Layanan Buruk Di Korea Sebab Berhijab - “Dia Agak Trauma Kerana…
Pempengaruh yang kini mengorak langkah dalam dunia lakonan, Sabrina Azhar berkongsi pengalaman rakannya pernah menerima layanan buruk di Korea disebabkan berhijab.
Ditarik tudung
Pernah melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Korea Selatan, Sabrina, berkata, insiden itu berlaku ketika rakannya sedang berbasikal di kawasan Sungai Han.
ARTIKEL BERKAITAN: Ameera Khan, Sabrina Dipuji Kongsi Kesedaran Tentang Palestin
"Sewaktu kami masih belajar, kawan saya gemar berbasikal di kawasan Sungai Han. Ada satu hari, seorang pakcik tiba-tiba datang ke arah kawan saya dan memaki hamun.
"Pakcik tu suruh kawan saya pulang ke negara asal (Malaysia) dan menarik tudung kawan saya itu. Kawan saya pun tak tahu nak buat apa waktu itu dan dia agak trauma kerana insiden berkenaan," katanya kepada Gempak.
Sabrina berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran tiga drama disiaran Astro Ofis Politik, Curang Tanpa Niat dan Rahsiamu Selamat Denganku baru-baru ini.
Syukur
Dalam pada itu, pelakon baharu berusia 24 tahun ini meluahkan rasa syukur biarpun berhijab, dia tidak pernah menerima layanan rasis oleh masyarakat di Korea.
Menurutnya, masyarakat di negara itu sebenarnya seorang yang mesra namun disebabkan kekangan bahasa mungkin menjadi faktor mereka enggan melayani pelancong luar.
"Alhamdulillah saya tidak pernah berdepan dengan situasi rasis walaupun berhijab. Paling-paling pun sewaktu membeli barang peniaga itu memberikan pandangan serong tetapi selepas saya berbahasa Korea mereka sebenarnya okay sahaja sangat friendly.
"Saya bukanlah nak mempertahankan orang Korea tetapi saya rasa mereka lebih friendly dengan individu yang berbahasa Korea disebabkan senang untuk berkomunikasi," ujarnya.