HIBURAN

Sah Bergelar Isteri, Erissa Puteri Berat Hati Tinggalkan Keluarga - “Saya Sangat Gementar”

Khairil Khusyairi 18/04/2025 | 12:50 MYT
Pelakon dan penyanyi Erissa Puteri meluahkan rasa syukur tak terhingga selepas sah bergelar isteri kepada pilihan hatinya, Danial Iskandar pada pagi Jumaat.
Kongsi Erissa atau nama sebenarnya, Erissa Puteri Hashim, 22, dia mengakui gementar dan dalam masa sama teruja untuk melayari bahtera perkahwinan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur perkenalan kami setahun membawa kepada pelaminan. Sangat gementar tetapi teruja ingin memasuki fasa baru dalam kehidupan.
“Agak berat juga untuk meninggalkan keluarga sebab saya sangat rapat dengan mereka.
"Rasa sebak tetapi lega," katanya kepada Gempak.
Dalam majlis bertemakan serba putih yang diadakan di sebuah hotel mewah di ibu kota itu, Erissa yang pernah menyertai program Ceria Popstar musim kedua pada 2014 itu menerima 70 gram emas sebagai mas kahwin.
Majlis yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat itu turut menyaksikan pertukaran 9 dulang hantaran daripada pihak lelaki dan berbalas 11 dulang dari pihak perempuan.
Sebagai lambang kasih sayang pula, keluarga
pengantin lelaki menghadiahkan rantai emas kepada Erissa.
Sebagai simbol penyatuan dan penerimaan dalam keluarga baharu, Erissa dihadiahkan rantai berlian, sebagai satu warisan keluarga yang tidak ternilai dan akan dihargai
sepanjang hayat.
Terdahulu, Erissa dan Danial mengikat tali pertunangan pada awal Januari lalu.
Untuk info, Erissa mula menceburi bidang lakonan dengan drama-drama cilik di Astro seperti Geng UPSR, Puasa Oh Puasa, SMK dan banyak lagi.
#pelakon #Kahwin #Penyanyi #Nikah #Gementar #“Erissa #Puteri”