Berita
Saharul Ridzwan Dedah Pendapatan Dua Kali Ganda Ketika Pandemik; "Masa PKP Saya Survive..."
Pelakon Saharul Ridzwan mengakui terkejut apabila melihat penyata pendapatan miliknya yang direkodkan bagi tahun lalu ketika saat getir apabila negara berdepan krisis pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan ramai terkesan dengan mata pencarian.
Menurut Saharul, ironinya, pendapatan yang diperoleh pada 2020 ketika berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencatatkan dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
"Masa PKP saya survive dengan duit simpanan dan duit iklan. Bila saya tengok penyata bank sebab nak bayar cukai di Lembaga Hasil Dalam Negeri, pendapatan saya dua kali ganda pada 2020 ketika Covid-19 berbanding 2019.
"Saya pun tak tahu mana rezeki itu datang, Alhamdulillah tahun lepas juga saya selesaikan semua hutang dengan manusia. Mungkin itu rezeki anak kot," katanya kepada Gempak.
Saharul berkata demikian ketika ditemui sewaktu Majlis Pelancaran produk makanan ringan, Palut's di Puncak Alam, Selangor semalam.
Menurutnya lagi dia, juga mengakui bimbang sekiranya perlu berdepan fasa PKP untuk sekian kalinya.
"Sebelum ini waktu PKP memang tak terjejas, tetapi duit semakin menurun. Ini kita takut juga, namun, persediaan itu dah ada.
"Produk Palut's ini pun naik sewaktu PKP, jadi itu yang saya yakin untuk bekerjsama dengan mereka," katanya yang tampil dengan produk makanan ringan, pisang salai.
Bercakap mengenai pembabitannya dalam dunia perniagaan, kata Saharul, dia mengakui mula giat berniaga demi memikirkan soal masa depannya bersama keluarga.
"Andai satu hari nanti saya hilang mata ke, fizikal luaran untuk dijual sebagai seorang artis ini tak ada, jadi apa back up saya?
"Selepas kahwin ada anak dan isteri, saya tak fikir perkara yang jadi esok, tapi saya fikir 10 ke 20 tahun akan datang, berapa banyak je boleh simpan sebagai artis," katanya.
Sebelum ini, Saharul pernah mencuri tumpuan ramai apabila didakwa tidak mempunyai tawaran lakonan sehingga terpaksa menjual pisang.
Must-Watch Video