Saixse Berjaga-Jaga Terima Hadiah Makanan Daripada Peminat, Akui Masih Terima Mesej Pelik - "Kalau Rasa Ada Tak Kena..."
Asyikin Mayudin
08/05/2024 23:55 MYT
08/05/2024 23:55 MYT
Mula dikenali menerusi lagu Malampagi, penyanyi rap Saixse berkata kehidupannya tetap berjalan seperti biasa biarpun dirinya sudah mempunyai ramai peminat.
Tak Layan Mesej Pelik
Terbuka menerima sebarang komen, Saixse bagaimanapun memberitahu dia mengambil pendekatan untuk tidak melayan mesej yang pelik di laman sosial.
"Hidup saya macam biasa sahaja, sebagai rapper saya kerja akan terus kerja seperti masuk ke studio atau ikuti jadual persembahan.
"Ada juga terima mesej-mesej pelik di media sosial namun saya ambil pendekatan untuk tidak melayan. Jika rasakan ada sesuatu tidak kena, saya akan abaikan terus.
"Namun saya amat terbuka menerima sebarang komen. Apa sahaja pendapat peminat saya ambil," kata Saixse kepada Gempak.
Saixse berkongsi perkara itu ketika ditemui di pelancaran lagu terbahru kolabarasi bersama penyanyi rap Kidd Santhe dan personaliti media sosial terkenal di Indonesia Atta Halilintar berjudul Mantap Cuy.
Berjaga-Jaga Terima Hadiah Makanan
Dalam pada itu, Saixse turut memberitahu dia sentiasa akan berjaga-jaga apabila menerima hadiah yang merupakan makanan daripada peminat.
"Awal dahulu mungkin belum biasa, tetapi sekarang saya seronok bertemu peminat. Cuma kalau terima hadiah makanan saya akan lebih berhati-hati. Itu pendirian saya dan kita sendiri kena tahu kesannya," ujarnya.
Kolabarasi Bersama Atta Halilintar
Bercerita tentang kolaborasi Bersama Atta, Saixse menganggap ia sebagai peluang terbaik selain dia dan Kidd berbesar hati apabila suami kepada Aurel Hermansyah itu sudi bekerjasama tanpa melibatkan kos yang besar.
"Atta seorang yang amat merendah diri. Seronok dapat bekerjasama dengannya. Pelaburan untuk bekerjasama dengan Atta adalah 'kosong'.
“Dalam menghasilkan sesebuah lagu bagi saya nilai itu tidak penting. Apa yang menjadi keutamaan adalah minat yang mendalam," ujarnya.
Mantap Cuy merupakan ciptaan bersama Kidd dan Saixse sendiri manakala Atta pula turut terlibat menulis sebahagian lirik lagu berkenaan.
Muzik video lagu ini dirakamkan di Indonesia dan mula ditayangkan di saluran YouTube Kidd Santhe bermula 30 April lalu.