Filem
Saka Nan Sepi: "Saya Tak Kelakar Tetapi Saya Mencuba" - Syafiq Kyle
Aktor kacak, Syafiq Kyle menyatakan dia menerima komen positif daripada penonton yang menonton filem Saka Nan Sepi.
Menurut Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 28, berkata rata-ratanya menyukai dan menerima komedi yang dipersembahkan.
"Setakat ini alhamdulillah komen daripada penonton di media sosial semua yang baik dan positif.
"Itu yang kita mahukan. Ada juga yang negatif tetapi biasa la mesti ada yang baik dan buruk.
"Selebihnya tentang mereka suka mengenai komedi itu sendiri," katanya kepada Gempak.
Sementara itu, pelakon filem Pusaka ini berpendapat dia bukan seorang yang kelakar.
Walaubagaimanapun, dia memilih untuk mencuba melakukan perkara baru.
"Saya rasa saya tak kelakar tetapi saya suka situasi dalam filem itu. Saya mencuba.
"Waktu saya muda mungkin boleh buat lawak tetapi bila dah berusia mungkin sebaliknya," katanya sambil seloroh.
Selain Syafiq, filem komedi seram itu turut dibintangi barisan pelakon hebat lain antaranya Namron, Sherry Alhadad, Mimi Lana, Han Zalini dan Ayie Hushairi Husa.
Saka Nan Sepi menceritakan keluarga Othman (Namron) luangkan masa dengan berkhemah di dalam hutan. Tiba-tiba anaknya Rozi (Mimi Lana) telah dirasuk. Mereka terus mambawa Rozi berjumpa bomoh Tok Kassim (Ayie Hushairi Husa) untuk berubat.
Saka tersebut tertarik dengan Rozi dan memilih untuk tinggal dengan keluarga Othman. Apabila pulang ke rumah, Othman, Zaiton (Sherry Al Hadad), Sufian (Syafiq Kyle) dan Rozi mula nampak kelibat Saka tersebut dan mereka hidup dalam ketakutan. Sekaligus menyebabkan mereka berempat sentiasa duduk bersama tidak kira ketika makan, tidur serta melakukan aktiviti.
Ketakutan mereka hilang apabila melihatkan Saka itu takut kucing tetapi bersifat lemah lembut dan rajin membantu. Apabila keluarga Othman boleh menerima Saka itu dan memberi nama Girlboy, Tok Kassim kembali untuk mencuri Girlboy (Han Zalini).
Jadi, jangan lupa saksikan Saka Nan Sepi di Astro First, saluran 480 selain pilihan yang lebih fleksibel menerusi strim di Astro GO atau On Demand.
Setiap langganan RM15, penonton berpeluang menonton naskah tersebut berulang kali dalam tempoh 48 jam.
Must-Watch Video