Astro Malaysia meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan memaparkan kisah dan hiburan Malaysia terhebat di Saluran Gemilang (100) menerusi televisyen, On Demand dan Astro GO.

Saluran Gemilang bakal menyajikan lebih 150 program kegemaran yang terdiri daripada genre hiburan, variasi, drama, fakta, filem, telefilem, filem pendek dan rancangan hiburan kanak-kanak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berharap dengan adanya rancangan menarik yang diperkenal Astro mampu menjadi platform dalam menyatukan pelbagai kaum di Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia yang bangga, Astro berharap agar dapat memberi inspirasi kepada negara kita untuk bersatu dan kekal teguh seperti yang divisualkan menerusi tangan-tangan yang mewakili kepelbagaian kaum di Malaysia.

“Pada masa yang sama disulami dengan warna-warna kebangsaan seperti warna biru untuk perpaduan, merah untuk keberanian, putih untuk kesucian dan kuning untuk kesetiaan.

“Inilah nilai-nilai yang menyatukan rakyat Malaysia sejak lahirnya negara kita dan akan terus membimbing kita,” ujarnya.

Saluran Gemilang disiarkan secara percuma untuk semua semua pelanggan Astro bermula 21 Ogos sehingga 18 September.

Selain menayangkan semula kadungan-kandungan terbaik yang ada di Astro, Saluran Gemilang (100) turut menampilkan beberapa rancangan baharu yang bakal disiarkan buat pertama kalinya di kaca televisyen, berikut merupakan beberapa rancangan baharu:

All Together Now Malaysia Merdeka Special

Rancangan bakat nyanyian yang memaparkan selebriti-selebriti tersohor negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan generasi yang inginkan trofi khas All Together Now Merdeka.

Satu Tong

Drama komedi yang dibintangi Andy Teh, Elizabeth Tan dan Shah Iskandar mengisahkan masalah yang sering dialami rakyat Malaysia termasuk gangguan bekalan air. Komedi ‘feel good’ ini mengingatkan kita akan keikhlasan dan sikap bantu-membantu di kalangan rakyat Malaysia

Dokumentari Malaysia In Their Eyes dan The Conservationists

Dokumentari ini diarahkan oleh pengarah tersohor KC Chiu. Dokumentari pertama memaparkan keindahan negara kita menerusi mata lapan penduduk asing yang berkongsi kisah kehidupan mereka di Malaysia, berkongsi mengapa mereka memilih Malaysia sebagai rumah baharu mereka dan mengingatkan kita kekayaan budaya dan kehidupan yang sudah menjadi kebiasaan kita

270 min Ke Piala Asia

Sebuah dokumentari yang merakam perjalanan pasukan bola sepak negara yang penuh dengan tangisan, kegembiraan dan pengorbanan secara kronikal dalam melayakkan diri ke Piala Asia AFC 2023 buat pertama kali dalam 42 tahun.

The Making of Air Force The Movie: Selagi Bernyawa

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa merupakan filem blokbuster penuh aksi mengenai pengorbanan Tentera Udara Diraja Malaysia, serta semangat patriotisme ketika mereka berkhidmat dan menjaga keselamatan kita semua.

Filem ini akan ditayangkan pada 25 Ogos dan dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Dato Adi Putra, Aiman Hakim, Nas-T, Sara Ali, Carmen Soo, Anas Ridzuan, Jack Tan,Johan As’ari, Iman Corinne, Luqman Hafidz, Pablo Amirul, Scha Alyahya, Sangeeta Krishnasamy, Azira Shafinz dan banyak lagi.

Chit Chat Ceria

Sebuah program yang memaparkan bagaimana kanak-kanak melihat Malaysia yang berbeza dengan golongan dewasa menerusi interaksi dengan hos Alif Satar, Sissy Iman serta tetamu-tetamu undangan seperti Datuk Aznil Haji Nawawi dan Michael Ang.

Astro radio

Sementara, Astro Radio turut mengambil peluang dengan memperkenalkan beberapa program istimewa bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan termasuk memutar lebih banyak lagu-lagu tempatan di seluruh 11 stesen radio serta aplikasi SYOK.

LITE akan memaparkan pelbagai kisah yang memaparkan sisi-sisi keunikan rakyat Malaysia, ERA akan bersama personaliti-personalitinya menyertai perarakan Hari Kebangsaan di sekitar tempat ikonik di ibu negara, RAAGA pula akan memaparkan sebuah program menarik, Merdeka Food dan MY akan mengadakan Konsert Mini Merdeka yang akan menampilkan pelbagai artis tempatan.

Saksikan Saluran Gemilang (100) untuk menonton lebih banyak rancangan menarik dan menghiburkan sepanjang bulan kemerdekaan.