Bekas jaguh badminton negara, Tan Boon Heong terus mencuri perhatian netizen dengan kemas kini dalam laman Instagram rasminya, @tanboonheong7.

Semalam, beliau muncul dengan sebuah potongan video pendek yang menyaksikan dirinya bukan sekadar menjadi penyanyi, tetapi juga rapper bersama dua lagi penyanyi berbangsa Cina.

Uniknya, lagu yang dinyanyikan mereka bertiga adalah sebagai lambang apresiasi dan patriotisme terhadap negara yang menyambut ulang tahun ke 64 Malaysia yang jatuh pada 31 Ogos setiap tahun, termasuk hari ini.

Menerusi visual yang ditonton Gempak, Boon Heong memulakan muzik video dengan beberapa jenis permainan tradisional seperti gasing, wau, congkak dan batu seremban.

Memakai baju berwarna hitam, Boon Heong kemudian menyanyi secara rap dalam dwi bahasa iaitu Melayu dan Cina.

"Ke mana pun pakai topeng muka banyak panaslah takut member tak kenal saya, takut tak ada pilihan", begitu antara bait lirik yang dinyanyikan secara rap oleh pemain badminton kelahiran Kedah ini.

Antara lirik yang diselang seli dalam bahasa Cina dan Melayu itu, ia turut menyentuh mengenai situasi ekonomi dan keadaan rakyat yang perlu ikat perut dalam pandemik COVID 19 yang masih belum reda.

"Confirm, saya makan ikan bilis, ikan bilis saja", antara bait lain yang didendangkannya.

Boon Heong kemudian dilihat menyebut 'tapi jangan ganjiong', Happy Birthday Malaysia.

Persembahan santai dan inisiatif yang dilakukan Boon Heong mendapat pujian daripada netizen.

Ramai yang teruja dengan cara Boon Heong menghargai Malaysia dan terharu dengan apa yang dilakukannya bersama barisan pemuzik lain.

A post shared by Tan Boon Heong 7 (@tanboonheong7)


Sebelum ini, Boon Heong sempat membuat lebih 97 ribu pengikutnya kagum apabila mendendangkan lagu hit dari Indonesia.

Nama Boon Heong menjadi tular selepas cara penyampaian saat menjadi komentator sewaktu Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2021 yang sangat santai.

Instagram: @tanboonheong7