YouTuber Mohamad Nur Syafiq Mohamed Sarimi menyambut baik bantuan Dana Kandungan Digital yang disalurkan kerajaan untuk membangunkan penggiat seni muda menerusi platform YouTube.

Kata Syafiq, 25, insentif tersebut melonjakkan semangatnya untuk berkarya dan bakal menghasilkan drama pendek 12 episod yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

"Saya terkejut dan tidak menyangka hasil 'pitching' sebelum ini diterima dan melayakkan kami mendapat Dana Kandungan Digital ini.

"Semestinya ia membakar semangat saya terutamanya sebagai penggiat seni yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini.

"Insya-Allah jika tiada aral melintang drama berunsurkan dakwah itu akan memulakan penggambaran dalam masa terdekat dan akan ditayangkan pada akhir tahun ini," katanya kepada Gempak.

Syafiq menerusi saluran YouTube JIC TV bakal menerbitkan drama berjudul Ustaz Tarbiah yang akan menampilkan pendakwah popular di Pahang sebagai watak utama.

"Setiap episod akan menampilkan barisan artis yang berbeza-beza dan mengupas topik semasa berkaitan isu-isu rumah tangga," tambahnya.

Drama berdurasi 12 minit setiap episod itu merupakan hasil tulisan skrip oleh MF Kencana dan bakal menjalani penggambaran di Kuantan Pahang.