Penyanyi Datuk Nora Ariffin mencetuskan tanda tanya apabila berkongsi foto memperoleh set barang kemas termasuk sebentuk cincin sempena ulangtahun kelahirannya ke-48 pada Isnin lalu.

Dalam hantaran terbabit yang dikemaskini di ruangan Instagram beliau, set barang kemas itu masih tersimpan rapi dalam kotak khas berserta kapsyen berbunyi; "Alhamdullillah. Thank you."



Turut dimuatnaik bersama set barang kemas itu adalah senaskhah tafsir Al-Quran.

Hantaran yang disertakan bersama emoji hati merah itu mengundang pertanyaan peminat selain ucapan tahniah.

Malah, di ruang Instagram Stories pula, Nora memberikan bayangan berbunyi; "Jangan terkejut, kadang-kadang orang tua pun boleh bersikap macam budak-budak."



Menjelaskan perkara terbabit, kata Nora barangan kemas berkenaan merupakan pemberian seorang individu (yang enggan didedahkan identiti) kepadanya.

"Alhamdulillah... itu hadiah (cincin) daripada seorang sahabat. Hamba Allah," jawab Nora secara ringkas menerusi mesej di aplikasi WhatsApp.

Mengimbas semula, Nora sebelum ini pernah menafikan khabar angin dirinya bakal berkahwin dengan ahli politik namun kemudiannya mengakui telah dilamar seseorang untuk menjadi suri hati.

Bercerita mengenai sambutan hari jadinya tahun ini, ia masih meriah dengan kejutan daripada keluarga dan peminatnya.

"Dalam tempoh PKP, saya dan anak-anak memang tidak keluar rumah kecuali bila perlu sahaja. Sebenarnya tak nak sambut apa-apa pun.

"Tapi anak-anak saya buatkan juga kejutan... mereka buat kek sendiri di rumah. Raikan secara bersederhana saja bersama anak-anak, menantu dan cucu.

"Anak-anak ada beri kad dan coretan kata-kata semangat untuk saya. Itu yang sangat bermakna buat saya. Yang istimewa tahun ini, kelab peminat buat sambutan hari lahir saya secara maya.

"Peminat dari seluruh negeri menerusi Google Meet. Best sangat. Lebih kejutan, tahun ini banyak terima hadiah yang dihantar di rumah daripada kawan dari Dubai, Indonesia dan Singapura," ujarnya.

Nora berkahwin dengan pemuzik terkenal Johan Nawawi pada 1992 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata.

Bagaimanapun, Johan meninggal dunia pada Mac 2017 akibat serangan jantung dan pada Disember 2019 pula, anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff pergi mengadap Ilahi.