Sambutan tahun baharu secara besar-besaran masih lagi tidak dibenarkan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perhimpunan berskala besar akan menyukarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal.

Walaupun begitu katanya, sambutan secara kecil-kecilan melibatkan ahli keluarga masih dibenarkan.

"Sambutan secara perhimpunan masih tidak dibenarkan kerana ia masih lagi tersenarai dalam senarai larangan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Malaysia merekodkan sebanyak 1,594 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini dan daripada jumlah itu, tiga kes adalah kes import.

Pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 106,690 kes.

Selangor melaporkan kes harian tertinggi dengan 697 kes baharu atau 43.7 peratus daripada jumlah kes dilaporkan hari ini.

Sumber: Astro Awani