Netizen meluahkan rasa geram susulan kes penemuan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai mangsa dera dijumpai duduk bersendirian di tepi jalan.

Lebih menyayat hati, kanak-kanak berusia empat tahun itu ditemui oleh orang awam di simpang tiga berhampiran Pangsapuri Cheras Utama, Batu 9, Cheras dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Difahamkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di bahagian badan, tangan, jari dan dahi.

Melihat beberapa foto tular tersebut, netizen berharap agak pihak polis dapat mengesan ibu bapa kanak-kanak itu dengan cepat dan mengambil tindakan.

Menurut netizen lagi, kanak-kanak itu tidak sepatutnya berdepan dengan insiden yang boleh mengganggu dan memberikan kesan emosi atau trauma untuk jangka masa panjang.

Antara komen netizen:

“Apa sangatlah budak besar macam ni buat, sampai hati dera macam ni sekali, siap buang macam sampah je ye, letak tepi jalan. Semoga diberikan hukum kepada si pelaku!”

“Dah lah kene dera, kene buang pulak. Alahai manusia,kenapa kejam sangat, ketakutan lah budak kecik tu. Ya Allah, tak boleh bayanglah aku, kenapa mak dia sanggup buat macam tu,”

“Sedih sangat tengok anak di dera macam tu. Semoga awak sihat, ceria dan tak trauma dengan apa yang awak lalui sebelum diselamatkan...”

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kanak-kanak dianggar berusia empat tahun dan tidak boleh bertutur dalam bahasa tempatan itu ditemukan seorang lelaki pada 11.30 malam semalam.

Polis mengesyaki mangsa bukan warga tempatan kerana tiada sebarang kesan suntikan vaksin di bahunya.

Mohd Zaid berkata kanak-kanak itu dirawat di Hospital Kajang dan pemeriksaan awal pegawai perubatan mengesahkan keadaannya sihat dan stabil.

Beliau berkata satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat elemen penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.