Laman Utama

"Sampai-Sampai Ada Satu Lori Barangan Untuk Asnaf" - Terharu, Putra Amaris Terus Hulur Bantuan Sepanjang Ramadan

gempak
Amri Hassan
05/04/2022
12:45 MYT
Sponsor Banner
"Sampai-Sampai Ada Satu Lori Barangan Untuk Asnaf" - Terharu, Putra Amaris Terus Hulur Bantuan Sepanjang Ramadan
Pelakon dan usahawan, Putra Amaris terharu dan bersyukur dengan sumbangan serta rezeki berterusan dalam usahanya membantu meringankan beban golongan sasaran.
Projek Infaq Ramadan dengan kerjasama Dapur Pasak Kuala Lumpur kata Amaris terus dibanjiri dengan tajaan yang berterusan daripada pelbagai pihak sejak mula diwar-warkan bulan lalu.
Malah, Amaris tidak menyangka dia mendapat bantuan keperluan dan makanan untuk diagihkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, Kuala Lumpur sehari sebelum menyambut Ramadan.
"Rezeki Allah berikan yang tidak disangka-sangka. Memang berniat untuk adakan pelancaran ini beberapa hari sebelum puasa tapi tak yakin, bimbang kuota untuk sumbangan tak cukup sebab kempen ini akan berjalan selama 30 hari sepanjang Ramadan.
"Alhamdulillah ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan. Saya sampai tengah hari, satu lori barangan tiba untuk asnaf. Kemudian datang pula van serta beberapa sumbangan lainnya.
"Apa yang kita terima, kita sampaikan. Saya syukur, tak tahu nak kata macam mana. Terima kasih juga kepada pihak yang sama-sama gerakkan projek ini," ujarnya.
Selain asnaf, sebanyak 30 buah sekolah tahfiz menunggu kedatangan pasukan Amaris untuk membelikan barangan kelengkapan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Amaris berharap usaha untuk menghulurkan bantuan tidak berakhir di kempen Infaq Ramadan saja.
"Saya menyeru agar ramai pihak terus hebahkan projek ini kerana kami sasarkan untuk membantu anak-anak yatim, tahfiz, asnaf setiap hari sepanjang Ramadan ini.
"Kami masih perlukan kenderaan lebih banyak untuk membawa mereka menikmati pelbagai kegembiraan. Semoga bantuan ini akan membantu ramai lagi yang terkesan di luar sana," katanya.
Program Infaq Ramadan #samasamakenyang ini khusus kepada golongan sasar dengan harapan dapat meringankan beban mereka dalam menempuh ujian kehidupan dan sedikit sebanyak dapat membantu perjuangan mereka untuk bangkit dari kejatuhan dan kesusahan yang menimpa.
Objektif utama program ini adalah menyasarkan bantuan kepada 2000 orang golongan sasar antaranya Asnaf, Anak Yatim, OKU, Gelandangan, Anak Tahfiz dan juga golongan B40.
Inisiatif Amaris turut mendapat sokongan penuh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang hadir melancarkan program bantuan Projek Penuhkan Peti Ais pada 31 Mac lalu.
Dalam projek berkenaan, Amaris bersama pasukannya akan ke rumah-rumah asnaf dan golongan yang memerlukan.
"Kami akan menyusun dan memenuhkan peti ais mereka dengan ikan, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan, air, pek makanan 'ready to cook' dan banyak lagi.
"Selain itu, barangan keperluan asas juga kami akan beri sekali seperti beras, telur dan sebagainya. Inilah barang keperluan yang sentiasa ada sebagai bekalan di bulan Ramadan ini.
"Justeru, kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat, badan bukan kerajaan dan orang ramai yang ingin menyumbang adalah sangat dialu-alukan," katanya.
Selain itu, antara aktiviti lain yang diadakan adalah majlis berbuka puasa, sumbangan bakul makanan dan agihan bubur lambuk kepada penduduk setempat serta Program Rumah Baru.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live